MCA marah, Liow tetap ceria dengan Ismail
Walau partinya berang dengan kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai tetap tersenyum riang dan meluangkan masa untuk bergambar dengan rakannya dalam Kabinet itu.
Liow bertindak demikian ketika anggota jemaah menteri itu berhimpun semasa menunggu ketibaan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Kompleks Bunga Raya, Sepang semalam.
Ismail memuatkan gambar beliau bersama Liow di Twitter dan Facebook.
Turut ditampilkan dalam gambar itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang mempertahankan Ismail.
“Bersama (Hishammuddin) dan (Liow) untuk mengalu-alukan kedatangan Presiden Indonesia Joko Widodo.
"Hehe,” kata Ismail di Twitter.
Liow bagaimanapun hanya memuatkan gambar beliau bersama Joko Widodo di akaun Twitternya.
Ismail ditimpa kontroversi ekoran kenyataannya di Facebook yang menggesa pengguna Melayu memboikot peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barangan ekoran kejatuhan harga minyak.
Liow menerima tekanan oleh bekas presiden, Datuk Seri Chua Soi Lek yang berkata, penggantinya itu sepatutnya mengeluarkan kenyataan lebih tegas ke atas Ismail.

