Rahsia kombinasi cinta, keusahawanan
Suami dan isteri, yang juga menjadi rakan kongsi perniagaan memerlukan sentuhan kombinasi cinta dan keusahawanan yang unik.
Begitu juga cabaran yang terpaksa ditempuh, ada yang mungkin sukar membezakan urusan perniagaan dengan rasa kecintaan dalam kehidupan seharian mereka.
Bayangkan jika berlaku pertelingkahan di pejabat? Bagaimana hendak pulang ke rumah yang sama? Apakah mungkin keadaan ini akan merenggangkan hubungan sebagai suami isteri?
Tidak dapat dinafikan hubungan seperti ini banyak memberi tekanan tetapi ramai yang berjaya keluar daripada kemelut yang menekan kehidupan mereka ini.
Antaranya, Nadzri Yusof dan Alfieya-Hanuum Kamal Ridzwa. Kedua-duanya yang berusia pertengahan 30-an mengatasi keadaan yang sukar ini dengan mengenalpasti kelemahan masing-masing dan saling lengkap-melengkapi.
"Bila pulang ke rumah, tak bolehlah nak merungut tentang 'bos'," gurau Alfieya yang memanggil Nadzri sebagai 'bos besar'.
Pasangan ini, yang juga tuan punya Orimura Sdn Bhd, butik barangan kesihatan dan kecantikan telah berkahwin selama lapan tahun dan bersama-sama menguruskan perniagaan tersebut.
Mereka mempunyai empat orang cahaya mata, tiga lelaki dan seorang perempuan.
Siapa bos?
Syarikat pasangan ini mempunyai dua cawangan, satu di Bangi dan satu lagi di Melaka.
Nadzri menyandang jawatan ketua pegawai eksekutif. Beliau juga tenaga penggerak syarikat dan bertanggungjawab ke atas urusan kewangan, akaun dan penyediaan dokumen.
Alfieya pula bertindak sebagai ketua pegawai operasi.
"Saya suka berjumpa dengan orang. Pekerjaan saya melibatkan urusan dengan pelanggan atau bercakap tentang idea perniagaan. Saya taklah menyentuh butiran terperinci kerana antara saya dengan Nadzri telah sepakat, beliau yang akan membuat keputusan muktamad.
"Dengan cara ini, saya mempunyai lebih banyak masa untuk urusan rumah termasuk anak-anak," kata Alfieya.
"Kami hanya fokus apa yang terbaik yang kami boleh buat, " tambah Nadzri.
Sebelumm menubuhkan Orimura, pasangan suami isteri ini melibatkan diri dalam pelbagai perniagaan, daripada pemasaran multilevel kepada menganjurkan kursus perkahwinan hinggalah kepada perniagaan pemborongan sebelum menceburi industri kesihatan dan kecantikan.
Banyak dipelajari
Pasangan ini juga pernah mengalami kekangan kewangan dan tahu bagaimana peritnya terpaksa hidup berjimat cermat.
"Kami banyak belajar daripada masa susah dahulu dan bagaimana untuk tabah serta saling sokong-menyokong.
"Bila sudah gagal, terima sahajalah. Hidup perlu diteruskan dan kita cuba pula perkara baru," kata Alfieya.
Pasangan ini berkenalan 16 tahun lepas ketika sama-sama menguruskan satu program ketika menuntut di universiti.
"Saya lihat Nadzri sebagai seorang yang jujur, penuh dengan aspirasi dan berpengetahuan tinggi.
"Pada masa itu dia sudah mempunyai wawasan, tidak seperti yang lain seusia dengannya," kata Alfieya.
Pasangan ini berkongsi banyak persamaan seperti berdikari dan amat tidak suka pekerjaan yang waktu kerja masuk pukul sembilan balik pukul lima.
Bagaimanapun, apa juga kelemahan yang ada pada diri kedua-duanya akan mengukuhkan lagi hubungan suami isteri ini.
"Kami saling lengkap melengkapi. Suami saya tahu kekuatan saya akan menampung kelemahannya. Begitulah sebaliknya," kata Alfieya yang juga sudah memulakan perniagaan barangan hijab.
Bagi Nadzri, isterinya seorang yang berhati waja dan sentiasa memberi sokongan walau apapun cita-cita dan idenya.
"Kami tahu kami akan senang susah bersama dan akhirnya kami akan berjaya. Impian kami mahu bersara awal dan bersara sebagai orang kaya," kata Nadzri penuh yakin.
"Burulah apa yang anda ingin lakukan dan jangan mudah berputus asa. Dalam perniagaan memang ada jatuh bangun tetapi ketabahan dapat mengatasi semua," nasihat Nadzri kepada pasangan yang berkira-kira mahu menjalankan perniagaan bersama.
- Bernama

