Kita semua sedang menyaksikan the rising tide of democracy , atau gelombang demokrasi sebagai satu kekuatan politik dan sosial rantau ini. Sejak mencapai kemerdekaan, kebanyakan negara Asia Tenggara, meski pun pada awal pembentukan negara membuat komitmen untuk melaksanakan demokrasi, tetapi kebanyakannya juga mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi yang palsu.

Semangat kemerdekaan sebenarnya untuk membentuk sebuah negara demokrasi berlandaskan prinsip kebebasan, keadilan seperti yang diungkapkan oleh Tunku Abdul Rahman Putera Al-haj pada hari pengisytiharan kemerdekaan.

Malangnya selepas kemerdekaan, amalan demokrasi tidak pernah maju. Undang-undang yang tidak demokratik seperti ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang diwarisi daripada penjajah diteruskan dan pelbagai undang-undang baru dicipta untuk menyekat kebebasan rakyat dan hak asasi manusia.

Pada hari ini, di bawah pemerintahan Dr Mahathir Mohamad, Malaysia telah menjadi negara yang diperintah diktator. Dalam masa yang sama, negara-negara jiran telah berjaya membangun demokrasi.

Kita melihat kejayaan rakyat di Thailand, di Filipina dan juga di Indonesia membangun negara demokratik, hanya Malaysia satu-satunya negara yang menjadi mundur kepada arah pemerintah yang kediktatoran.

Dr Mahathir pernah berhujah bahawa kita tidak boleh mengamalkan demokrasi sepenuhnya kerana ia tidak sesuai bagi masyarakat Asia kerana demokrasi berasal daripada Barat. Ini merupakan satu hujah yang lapuk.

Beliau ingin berselindung di sebalik kebudayaan Melayu, juga kebudayaan Asia, untuk mempertahankan sistem diktator beliau.

Demokrasi merupakan satu nilai sejagat. Inilah yang diungkapkan oleh Amartya Sen seorang pemikir di India yang memenangi Hadiah Nobel Ekonomi dua tahun lalu. Beliau menegaskan kesejagatan demokrasi berasaskan tiga faktor.

Pertama, peri pentingnya penyertaan politik dan kebebasan dalam kehidupan manusia.

Kedua, peri pentingnya demokrasi sebagai alat untuk memastikan kerajaan melaksanakan tanggungjawab dan mengamalkan prinsip pertanggungjawaban.

Ketiga, peranan demokrasi dalam membentuk nilai-nilai dan memahami keperluan hak-hak dan juga tanggungjawab.

Justeru itu, Pemuda Parti KeADILan Nasional tidak melihat demokrasi sebagai kegiatan pilihan raya semata-mata. Demokrasi adalah lebih besar daripada sekadar pilihan raya.

Proses demokrasi meliputi segala tindakan dan aksi politik yang dilaksanakan secara aman. Kita yakin bahawa ada masanya kita perlu mempunyai sikap yang tegas dan berani dalam menuntut hak kita yang telah dicerobohi oleh pemerintah yang menyalahgunakan kuasa.

Berhimpun secara aman merupakan satu hak politik yang tidak boleh dinafikan. Ia merupakan aksi politik yang sah dan perlu dipertahankan. Tidak ada perjuangan kemerdekaan yang berjaya tanpa aksi politik yang melibatkan perhimpunan dan juga pergerakan rakyat.

Tidak ada perjuangan pergerakan buruh yang berjaya tanpa tindakan kesatuan sekerja.

Kita harus ingat kita berdepan dengan kuasa yang biadab dan juga angkuh. Maka sudah pasti ia menuntut keberanian dan kecekalan dalam berhadapan dengan mereka.

Frederick Douglass, seorang pejuang Pergerakan Pembebasan Hamba di Amerika pada abad ke-19 pernah berkata, "barang siapa mengingini kebebasan tetapi tidak mahukan agitasi (agitation) adalah laksana manusia yang mahukan tanaman tanpa mencangkul tanah. Mereka mahukan hujan tanpa guruh dan halilintar.

"Mereka mahukan lautan tanpa gelombang. Perjuangan ini adalah perjuangan moral, bahkan ia boleh menjadi perjuangan fizikal atau kedua-duanya sekali, moral dan fizikal, tetapi yang pasti ia adalah perjuangan. Kekuasaan dahulu, sekarang dan selama-lamanya tidak akan mengalah tanpa tuntutan."


Sedutan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda KeADILan dalam mesyuarat agung kedua parti itu pada 15 Jun, 2000 di Kelana Jaya, Selangor. Ia diterbitkan semula di sini sebagai rakaman ucapan penting politik nasional.