Pelik tetapi benar, seorang hakim Mahkamah Daerah Washington memutuskan tindakan seorang lelaki berusia 61 tahun merakam gambar seorang kanak-kanak dengan keadaan skirt terselak tidak menyalahi undang-undang.
Hakim Eric Butterfield yang membuat keputusan itu menyifatkan perlakuan tersebut "lucah dan mengejutkan".
"Daripada sisi undang-undang, yang malangnya merupakan tugas saya untuk dilaksanakan, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan," kata Butterfield.
Si pelaku, Patrick Buono juga tidak mencabar tuduhan menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam gambar itu yang didakwa dilakukan pada 3 Januari, di pasar raya Target di Beaverton, Oregon.
Peguam bela Buono, Mark Lawrence memetik gambar skirt terselak Marilyn Monroe sebagai hujah pembelaan.
Jelasnya, insiden skirt terselak itu berlaku di tempat awam iaitu lorong di pasar raya Target
"Perkara begini bukan hanya dilihat tetapi juga dirakam dengan video.
"Ia tanggungjawab kita untuk menutup apa-apa yang kita tak mahu orang filemkan di tempat awam," katanya.
Penolong pendakwa raya, Paul Maloney berhujah bahawa hak peribadi kanak-kanak itu dicerobohi dengan tindakan Buono mencangkung di lorong pasar raya Target untuk merakam gambarnya.
Ia dibidas peguam Mark Lawrence yang berhujah bahawa bahagian sulit kanak-kanak itu tidak kelihatan dan kelakuan Buono tidak bersifat seksual.
Hakim Butterfield di penghujung penghakimannya membebaskan Bono menyifatkan ia satu keputusan yang mengecewakan beliau sendiri.
