Mujahid: Utamakan kes banjir, bukan hudud
MP Parit Buntar dari PAS, Datuk Mujahid Yusof Rawa menyeru agar parti itu lebih mengutamakan proses memulih dan membangunkan Kelantan berbanding pembentangan undang-undang hudud di Parlimen, bulan depan.
"Saya amat bersetuju yang masalah di Kelantan bukanlah tentang memperkenalkan undang-undang hudud.
"Sebaliknya tumpuan adalah membangunkan semula Kelantan pasca banjir - itu perlu lebih diutamakan," katanya kepada wartawan selepas satu forum di Kuala Lumpur, petang ini.
Mujahid berkata, beliau bagaimanapun tidak pasti jika pendiriannya itu turut dikongsi oleh partinya sendiri.
"Saya tidak tahu jika ini mewakili pendirian parti saya atau tidak tapi kita akan bincangkan pada mesyuarat jawatankuasa PAS pusat esok," tambahnya.
Mujahid membuat kenyataan itu selepas ditanya jika beliau berhadapan dilema dengan rancangan PAS untuk membentangkan rang undang-undang hudud di Parlimen, bulan depan.

