Saham Barakah Offshore Petroleum Bhd, yang baru-baru ini memperoleh kontrak baharu daripada Petronas Carigali Sdn Bhd, merupakan antara kaunter paling aktif didagangkan di Bursa Malaysia pagi ini, meningkat lima sen kepada RM1.02 pada 9.31 pagi.
Sejumlah 5.127 juta lot bertukar tangan.
Jumaat lepas, unit Barakah Offshore, PBJV Group Sdn Bhd, dilaporkan memperoleh kontrak kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, fabrikasi, pemasangan, pengoperasian dan penyelenggaraan sistem perangkap di Semenanjung Malaysia, serta Sabah dan Sarawak.
Kontrak itu adalah bagi tempoh 23 Jan, 2015 hingga 22 Jan, 2018, dengan opsyen lanjutan selama setahun.
Kenanga Research berkata kontrak itu positif memandangkan ia menunjukkan keupayaan Barakah dalam memperoleh kontrak baharu.
"Kami memahami bahawa nilai kontrak itu, kira-kira RM30 juta setahun, dengan margin pendapatan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 20 peratus, selari dengan gabungan margin EBITDA kumpulan itu.
"Kejayaan baharu ini menambah projek dalam tangan Barakah kepada RM2.1 bilion, yang menyediakan ketampakan pendapatan untuk tempoh tiga tahun akan datang," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'berprestasi' ke atas Barakah Offshore pada harga sasaran RM1.34.
- Bernama
