Walaupun DAP sering dikaitkan dengan fahaman kiri, di mata Tun Dr Mahathir Mohamad parti lawannya itu bukanlah berfahaman komunis.

Sebaliknya, kata bekas presiden Umno itu, pemimpin kanan parti itu seperti Lim Kit Siang cenderung kepada pendekatan autoritarian yang menjadikan ahli keluarga sebagai “legasi” pemerintahan.

"Saya tak lihat DAP ini sebagai komunis. Cuma idea mereka tentang bagaimana untuk memerintah negara ini tak bagus untuk negara.

"Saya juga tak lihat Lim Kit Siang sebagai seorang komunis tetapi dia lebih cenderung untuk menjadi autoritarian  dan seolah-olah mahu digantikan oleh anaknya.

“Saya tidak percaya sistem ini di mana keluarga melebihi daripada negara," kata Mahathir ( atas ).

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada hadirin yang hadir sempena ulang tahun ke-40 hubungan dua hala Cuba dan Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Ketika memberi syarahan pada majlis tersebut, Mahathir berkata walaupun Cuba sebuah negara komunis dan mempunyai pendekatan berbeza mentadbir negara, ia bukan penghalang kerjasama dengan Malaysia.

"Saya rasa masyarakat sepatutnya tidak menyebuk hal orang lain dan untuk Malaysia, kita menjaga hal kita sendiri kerana Cuba tidak pernah cuba untuk melemahkan Malaysia walaupun membawa ideologi komunis," katanya.