Tidak ada apa-apa gerakan untuk menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar.

“Tidak ada apa-apa gerakan yang mahu jatuhkan presiden,” katanya ketika diajukan soalan mengenai dakwaan ahli jawatankuasa pusat Dr Hatta Ramli menjadi penggerak utama untuk menjatuhkan Hadi.

Semalam, penyokong Hadi berkumpul di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur sebelum mesyuarat jawatankuasa pusatnya bagi menunjukkan sokongan kepada presiden mereka itu.

Mereka berhimpun kerana percaya terdapat beberapa anggota parti itu yang mahu menjatuhkan Hadi.

Sementara itu, Mahfuz juga ditanya berkaitan sebab Hadi tidak hadir dalam sidang media bersama Pakatan semalam, walaupun turut serta dalam mesyuarat Pakatan sebelum itu.

Mahfuz berkata, perkara itu tidak menjadi isu.

“Dia (Hadi) hadir mesyuarat penuh, dia beri pendapat, dia beri pandangan dan semua pihak bersetuju dengan pandangan presiden dan dia bersetuju dengan pandangan orang lain.

“Dia tak hadir kerana dia ada program yang terpaksa dia pergi,” katanya.