Bapa rayu anak diberi kerakyatan
Lim Jen Hsian, lelaki warganegara Malaysia yang menghidap penyakit jantung kini risau menunggu keputusan sama ada anak lelaki empat tahunnya, Zu Yi akan diberikan kerakyatan atau tidak.
Semuanya akan diketahui selepas hasil pendengaran kes semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan pada 6 Mac ini.
Permohonan Lim untuk mendapatkan kerakyatan anaknya pada Oktober 2013 lalu ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atas alasan perkahwinannya dengan pasangan daripada Thailand tidak sah.
Lim, 38, kemudian memohon untuk menyemak semula keputusan pada Julai tahun lalu supaya anaknya diberi kad pengenalan kanak-kanak MyKid.
Ibunya dikatakan meninggalkan anak mereka ketika umur enam bulan dan Zu Yi dijaga oleh neneknya.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia dinamakan sebagai responden dalam kes itu.
Peguamnya N Surendran berhujah, Zu Yi harus diberi surat beranak kerana beliau lahir di Hospital Thung Shin, Kuala Lumpur pada 2010.
Surendran juga memberitahu mahkamah, kanak-kanak itu harus diberi kerakyatan berdasarkan Perkara 14(1)(b) ,Bahagian II, Jadual Seksyen 1(e) Perlembagaan Persekutuan.
“Kanak-kanak ini jelas lahir di sini dan bapanya warga Malaysia. Dia secara automatik rakyat Malaysia,” kata Surendran.
Seksyen 1(e) menjelaskan, sesiapa yang lahir di Malaysia dan sekurang-kurangnya seorang ibu bapanya pada masa kelahiran mempunyai kewarganegaraan Malaysia atau bermastautin tetap adalah rakyat Malaysia.

