Sekurang-kurangnya 19 orang maut dalam pertembungan peminat bola sepak dengan pasukan polis di luar stadium Kaherah, kata Kementerian Kesihatan Mesir.

Agensi berita antarabangsa CNN hari ini, yang memetik portal akhbar tempatan yang pro-kerajaan Al-Ahram , pula melaporkan sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dalam insiden itu.

Stesen TV itu juga melaporkan, insiden keganasan berlaku menjelang perlawanan yang dijadualkan antara paskan Zamalek dan ENPPI. Perlawanan itu bagaimanapun diteruskan.

Laporan itu turut menyebut, Kementerian Dalam Negeri Mesir menyalahkan penyokong yang tidak bertiket sebagai pencetus insiden itu apabila mereka cuba tolak-menolak untuk memasuki stadium.

"Mereka cuba memanjat pagar. Sepuluh orang tercedera kerana dihimpit. Pihak keselamatan cuba menyuraikan mereka, para penyokong pula berhimpun di jalan utama, menyekat lalulintas dan memberhentikan bas yang membawa pasukan Zamalek.

"Mereka membakar kereta polis. Kami mendapat laporan mengenai insiden ini kerana berlaku himpitan," kata kementerian itu lagi seperti dipetik CNN.

Bagaimanapun, penyokong pasukan Zamalek melalui Facebook berkata mereka ditembak dengan gas pemedih mata sewaktu cuba melalui satu-satunya pintu kecil yang dibuka bagi membolehkan mereka memasuki stadium untuk menonton perlawanan.

Pertembungan semalam mencatat jumlah kematian antara yang tertinggi di negara itu selepas insiden rempuhan pada 2012 yang menyaksikan 70 maut dan 1,000 lagi cedera di bandar Port Said.