Hakim beredar selepas dikecam Anwar
Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan peluang semasa hujah pendakwaan untuk menghamburkan kata-kata kecaman ke atas panel hakim yang memutuskan sabitan ke atasnya dalam kes Liwat II.
Beliau juga enggan menutup mulut apabila diminta berbuat demikian oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria, sehingga memaksa para hakim lain meninggalkan bilik mahkamaha.
Sebaik dibenarkan bercakap semasa persidangan hari ini, Anwar menuduh panel hakim bersekongkol dengan seteru politiknya – yang didakwa menjalankan konspirasi politik ke atasnya.
"Apabila tunduk kepada arahan pemimpin politik anda, anda turut bersubahat dalam membunuh badan kehakiman. Anda memilih untuk berada di pihak yang tidak betul,” katanya dengan marah.
Walau selepas para hakim itu beredar, Anwar meneruskan ucapan dengan nada yang tinggi dan berikrar untuk terus berjuang demi kebebasan dan keadilan.
“Saya tidak akan menyerah,” katanya.
Mahkamha Persekutuan yang mengekalkan sabitannya turut menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.

