Kumpulan penggodam terkenal Anonymous bertekad membongkar kegiatan ahli dan penyokong pemberontak Negara Islam (IS) di Internet.

Dengan amaran "kami akan buru anda dan bongkar siapa anda", kumpulan sejagat itu melancarkan "perang" terhadap laman-laman web kumpulan IS sebagai reaksi balas serangan terhadap majalah Charlie Hebdo bulan lalu.

Menurut portal The Independent , kumpulan itu mendakwa berjaya menggodam akaun-akaun Twitter dan Facebook yang digunakan oleh anggota IS.

IS sering menggunakan media sosial untuk menyebarkan propaganda, mengedarkan rakaman pembunuhan kejam mangsa mereka dan ruang menggalakkan orang ramai menyertai mereka.

Dalam mesej videonya 'Operasi IS', penggodam itu mendakwa kumpulan mereka disertai pelbagai kaum, latar ekonomi dan jantina.

"Anggota kami ada yang Islam, Kristian dan Yahudi," Anonymous dipetik sebagai berkata.

Video kumpulan penggodam mengingatkan orang ramai bahawa penyokong-penyokong IS "bukanlah orang Islam", lapor portal itu hari ini.