IGP sasar MP, kartunis
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukannya akan bertindak mengikut Akta Hasutan ke atas penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk menentang keputusan pemenjaraan ketua pembangkang itu.
Khalid dalam kenyataannya berkata, tindakan itu termasuk ke atas MP Taiping, Nga Kor Ming atas kenyataan di media sosial.
Nga dalam tulisan di Twitter menyebut: “Doa rakyat tidak dimakbulkan. Tiba masanya untuk menentang rejim kejam”.
Khalid yang memberi contoh komen tersebut berkata, Nga sengaja mencari masalah atas tindakan itu.
“Orang (ini) sengaja mengundang tindakan PDRM. Kita Akan ambil tindakan di bawah Akta Hasutan,” kata Khalid di Twitter.
Komen dari Nga itu muncul sebaik selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputsan bahawa Anwar bersalah atas tuduhan meliwat pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Mahkamah Persekutuan juga mengekalkan hukuman lima tahun penjara.
Khalid juga berkata polis akan menyiasat kartunis popular Zulkiflee SM Anwar Ulhaque, kerana menyindir hakim atas keputusan tersebut.
Kartunis itu menulis: “Barua berjubah hitam bangga jatuhkan hukuman. Habuan dari tuan politik pasti lumayan.”
Mengulas perkara itu, Khalid berkata Zunar juga perlu disiasat.
“PCIRC (Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis) sila kesan dan siasat,” katanya.
Selain itu, beliau juga mengarahkan pasukannya menyiasat naib presiden PKR Rafizi Ramli kerana mempromosikan kempen Rakyat Hakim Negara di Twitter, bagi membantah tindakan ke atas Anwar.
Poster kempen itu menunjukkan imej seorang individu dengan rambut palsu seperti seorang hakim, dengan simbol wang.
“PCIRC PDRM siasat juga tweet ini yang cuba menghasut rakyat mempercayai hakim dibayar,” kata Khalid.

