Gunakan pendapatan eksport sebagai subsidi minyak
Kerajaan digesa mengumumkan pendapatan bersih eksportminyak mentah negara dan menggunakan sebahagian jumlah itu sebagai subsidi untuk mengelakkan kenaikan harga bahan api itu yang berkuat kuasa mulai semalam.
Parti Rakyat Malaysia mendakwa negara ini mendapat keuntungan yang besar daripada eksport minyak ekoran harga petroleum yang tinggi di pasaran dunia masa kini.
"Mengapa kerajaan tidak boleh menggunakan sebahagian daripada pendapatan minyak yang dieksport (minyak jenis sweet crude ) itu untuk membayar subsidi," kata Presiden PRM, Dr Syed Husin Ali.
"Mengapa kerajaan memilih untuk membebankan rakyat dengan menaikkan harga runcit minyak sebanyak 10 sen?" Menurutnya lagi, eksport minyak dan gas Malaysia bernilai RM17.8 billion pada tahun lalu.
"Sudah tentu dengan harga lebih tinggi tahun ini, pendapatan dari eksport meningkat lagi," jelas Dr Syed Husin .
Beliau mempertikaikan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang memberikan alasan bahawa kerajaan terpaksa membayar lebih banyak subsidi tahun ini, sejumlah RM3.095 bilion, berbanding tahun lalu, RM1.146 bilion.
Kenaikan harga minyak itu akan menambahkan beban pengguna pengangkutan awam, khususnya bas, tambah Dr Syed Husin.
Beliau merujuk pengumuman kerajaan untuk menaikkan tambang bas diLembah Kelang pada 15 Oktober depan. Tambang pengangkutan awam itu sudah dinaikkan sehingga 33 peratus pada Jun lalu.
"Apabila tambang bas awam naik, tentu sekali tambang bas sekolah pun akan meningkat," hujah Dr Syed Husin lagi.
Kenaikan kos pengangkutan
PRM bimbang kenaikan harga minyak itu akan membawa kesan kenaikan terhadap kos pengangkutan dan barangan pengguna.
Beliau mempertikaikan kenyataan Menteri Perniagaan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muhyiddin Yasin untuk memantau kenaikan harga barang.
"Apa yang boleh dilakukannya selain daripada memantau?" soal Presiden PRM lagi, sambil menjelaskan tidak ada peraturan atau badan penguatkuasa yang boleh dirujuk untuk mengawal harga.
Sementara itu Naib Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempertikaikan langkah kerajaan yang hanya menaikkan harga berdasarkan perkembangan industri itu di peringkat antarabangsa.
"Tetapi (kerajaan) enggan menurunkan harga (minyak untuk pengguna) apabila harga (di peringkat antarabangsa) jatuh," katanya.
Lim turut mempersoalkan sikap kerajaan yang tidak mampu memberi subsidisebanyak RM3 bilion setahun tetapi sanggup menggunakan sejumlah yang sama untuk menyelamatkan peminjam-peminjam tertentu yang ada kaitan dengannya.
Kerajaan sering ditafsirkan menggunakan dana awam sehingga berbilion-bilion ringgit untuk menolong syarikat-syarikat tertentu yang didakwa mempunyai hubungan politik dengan pemimpin negara.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.