Di Britain, buat pertama kali dalam sejarah dunia, seseorang bayi boleh dilahirkan daripada benih dua ibu bersama satu bapa.

Minggu lepas, ahli-ahli parlimen Britain meluluskan dasar baru itu bagi mengelak kematian bayi atau kelahiran yang sangat tidak sempurna.

Di negara itu, kira-kira 100 bayi setahun dilahirkan dengan kerosakan teruk mitokondria, sumber tenaga sel bagi pertumbuhan seseorang, lapor mingguan niaga terkenal The Economist.

Tanpa meluluskan teknologi baru ini, lebih kurang 2,500 ibu bakal melahirkan anak yang sangat lemah atau mati.

Pada 3 Februari lalu, 382 wakil rakyat negara itu menyokong dasar "derma mitokondria" berbanding hanya 182 yang menentangnya.

Selain benih ibu dan bapa, seorang lagi wanita akan menyumbang mitokondria melalui kaedah persenyawaan beradas (IVF) bagi membaiki kelemahan mitokondria ibu.

Derma benih ketiga bagaimanapun dipercayai tidak mengubah maklumat asas DNA warisan ibu dan bapa asal, seperti warna mata, ketinggian dan keperibadian.

Manusia mempunyai 22,000 gen tetapi mitokondria hanya mempunyai 37 gen, lapor mingguan itu lagi.

Namun perubahan maklumat baka penderma tersebut akan tetap diwariskan kepada wanita yang dilahirkan melalui kaedah ini.