MH370 Sekumpulan waris penumpang MH370 tiba di Malaysia dari China dan merancang untuk mengadakan protes terhadap pengumuman kerajaan Malaysia bahawa pesawat Malaysia Airlines itu hilang kerana "kemalangan".

Kumpulan seramai 15 waris berkenaan berhasrat untuk duduk di hadapan ibu pejabat MAS dan menuntut untuk bertemu pihak pengurusan syarikat penerbangan itu dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Menurut mereka, seramai 50 hingga 60 saudara-mara penumpang MH370 akan berada di Malaysia.

Kedatangan mereka itu bukan tentang wang, tetapi untuk menggesa kerajaan Malaysia meneruskan gerakan mencari dan menyelamat, kata Zhang Hui Jun, 56, ibu kepada Li Yan, salah seorang penumpang penerbangan malang itu.

"Kami tidak mahu wang... kita pastinya tidak mahu wang.

"Jika mereka beri saya wang, saya tak boleh membawanya bersama (bila saya mati). Saya tidak mahu wang, saya mahu anak saya," kata Zhang (kanan) dalam lenangan air mata.

Katanya, mereka akan berusaha untuk bertemu perdana menteri jika gagal bertemu dengan MAS.

Zhang Jian Yi, 59, yang berasal dari wilayah An Hui, menegaskan bahawa tujuan mereka ke Malaysia adalah untuk bertemu dengan pihak pengurusan MAS dan meminta kerajaan Malaysia menyambung semula usaha mencari dan menyelamat.

Jika gagal bertemu dengan MAS, pilihan lain ialah mengadakan protes di Pejabat Perdana Menteri Malaysia, kata Jian Yi.

"Jika MAS tidak mahu jumpa, kami akan pergi ke DCA, pergi Pejabat PM, pergi jumpa Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Liow Tiong Lai) dan (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami adalah kumpulan pertama (saudara-mara dari China)... selepas kami, akan ada kumpulan kedua, kumpulan ketiga, kumpulan keempat, kumpulan kelima..." kata Jian Yi.

Wen Wan Cheng, bapa kepada penumpang MH370 Wen Yong Cheng, berkata mereka juga mahu mendapatkan pampasan daripada MAS dan pembuat pesawat Boeing.

"Syarikat penerbangan MAS dan Boeing perlu berikan kepada kami, para waris, bantuan kewangan," kata Wen.

Beliau berkata mereka akan berkhemah di luar pejabat MAS sehingga pihak pengurusannya bertemu dengan mereka.

Bagaimanapun, soalan yang dikemukakan kepada ahli-ahli kumpulan menunjukkan mereka tidak mempunyai tempoh masa jelas untuk berada di Malaysia atau strategi lain apabila bertemu dengan pihak pengurusan MAS.

[Baca berita penuh/asal]