Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberi layanan sama rata seperti banduan lain di penjara Sungai Buloh.
Anwar dipenjara selama lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan selepas diputuskan meliwat pembantunya pada tahun 2008.
"Jabatan Penjara melayan semua orang di penjara itu secara saksama seperti diperuntukkan dalam undang-undang dan peraturan penjara," kata Zahid sewaktu bercakap kepada wartawan selepas himpunan bulanan KDN di Putrajaya. Turut hadir Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.
Ia sekaligus menafikan desas-desus Anwar akan diberi layanan istimewa memandangkan Zahid dan Anwar dilihat rapat sewaktu Anwar berada dalam Umno.
Zahid memegang jawatan ketua Pemuda Umno sewaktu Anwar menjadi timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.
'Jangan bagi Anwar teh tarik, durian'
Sementara itu, bekas peguam Anwar merangkap bekas MP Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin menggesa pihak penjara agar tidak memberi layanan istimewa kepada Anwar.
Dakwanya, Anwar sebelum ini pernah mendapat layanan sewaktu dipenjarakan satu masa dahulu - kerana kelonggaran prosedur dan simpati pegawai penjara.
"Saya sudah bersama Anwar lebih 12 tahun sebagai peguam belanya.
"Disebabkan pelbagai kelonggaran yang diterima kerana statusnya itu, Anwar dapat menggunakan telefon bimbit.
"Malah, menikmati makanan seperti roti canai, mi goreng dan durian di dalam penjara," kata Zulkifli seperti dilaporkan Berita Harian , hari ini.
Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar menjelaskan bahawa layanan yang diberikan kepada Anwar adalah sama seperti banduan lain kecuali ditempatkan di dalam penjara berupa bilik, bukannya sel.
"Dari segi makan dan minum, jadual berjumpa keluarga adalah sama seperti banduan lain, cuma dia ditempatkan seorang di dalam bilik... ini adalah prosedur biasa yang dilaksanakan di penjara," katanya.
Beliau berkata jadual lawatan keluarga juga ditetapkan berdasarkan warna pakaian yang dipakai, dan Anwar ketika ini menggunakan pakaian berwarna merah, iaitu bagi penghuni penjara yang menjalani hukuman bagi tempoh enam bulan ke atas dan hanya boleh dilawati sekali sebulan.
Zulkifli berkata jumlah kekerapan lawatan akan berubah daripada sebulan sekali kepada tiga, dua dan seminggu sekali atau daripada warna merah kepada hijau dan biru berdasarkan tempoh keberadaan penghuni di dalam penjara sekurang-kurangnya selepas 12 bulan berada dalam tahanan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Anwar telah dibenarkan berjumpa anggota keluarganya sejurus dihantar ke Penjara Sungai Buloh pada hari Selasa.
