mk-logo
Berita
Mursyidul am PAS, Nik Aziz meninggal dunia
Diterbitkan:  Feb 12, 2015 10:00 AM
Dikemaskini: Feb 13, 2015 10:59 AM

dikemaskini Mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia malam ini.

Anaknya, Nik Abduh mengesahkan perkara itu di Facebook.

"Dengan izin tuhannya, para malaikat datang menyempurnakan tugas mengiringi roh ayahanda menuju penciptanya tepat jam 9.40 pada malam Jumaat yang agung.

"Semoga ayahanda berbahagia di sisi Allah," katanya dalam rakaman di laman itu.

Katanya lagi, jenazah bapanya itu akan disembahyangkan pada jam 10 pagi esok di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka.

Gambar yang dirakam pada malam ini menujukkan ramai penyokong berhimpun di perkarangan rumah bapanya itu di Pulau Melaka.

Terdahulu, ADUN Chempaka itu dibawa pulang ke kediamannya dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian jam 8.40 malam ini.

Kanser prostat

Nik Abduh dalam tulisan terdahulu di Facebook petang ini berkata, tahap kesihatan bapanya itu merosot selepas rawatan ulser semalam.

Bekas menteri besar itu, yang turut mengidap kanser prostat dimasukkan ke HUSM pada 19 Januari lalu.

Tahap kesihatannya merosot ketika bah besar melanda negeri itu.

Allahyarham, 84, meninggalkan seorang isteri, Tuan Sabariah Tuan Ishak dan sepuluh orang anak.

Seorang daripadanya, Nik Abduh, menjadi ahli politik PAS dan kini menjadi MP Pasir Mas.

Allahyarham mendapat pendidikan dalam bahasa Arab dan perundangan di Universiti Al-Azhar di Mesir dan merupakan seorang ulama yang disegani di kalangan masyarakat Islam.

Rampas Kelantan

Nik Abdul Aziz memenangi kerusi parlimen Kelantan Hilir (kini Pengkalan Chepa) dalam pilihan raya kecil 1967, selepas menyertai PAS pada tahun itu.

Beliau juga memainkan peranan utama dalam mengukuhkan semula PAS dan membolehkan parti itu menawan semula Kelantan pada 1990 dan menamatkan pentadbiran BN selama 12 tahun.

Beliau seterusnya dilantik menjadi menteri besar dan kekal di jawatan tersebut sebelum bersara pada 2013.

[Laporan ini dikemaskini berdasarkan rentetan perkembangan yang berlaku sejak jam 6 petang, 12 Februari]

 

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini