Fatwa hanya berkuatkuasa jika diwartakan
Sebarang fatwa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya menjadi undang-undang yang berkuatkuasa sekiranya ia diwarta oleh kerajaan-kerajaan negeri, kata pengerusinya Datuk Dr Ismail Ibrahim.
Sebarang fatwa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya menjadi undang-undang yang berkuatkuasa sekiranya ia diwarta oleh kerajaan-kerajaan negeri, kata pengerusinya Datuk Dr Ismail Ibrahim.
Oleh itu, katanya, jika fatwa itu tidak diwartakan, maka fungsinya hanyalah menjadi panduan dari segi agama-agama kepada orang Islam yang ingin mematuhinya.
"Sekiranya mereka tidak mahu mematuhinya, maka hal itu terserlahlah kepada mereka sendiri," kata Dr Ismail dalam satu kenyataan semalam sebagai mengulas kenyataan peguam Zaid Ibrahim berhubung fatwa pengharaman kuiz melalui SMS dan isu hukum haram konsert Sure Heboh oleh Majlis Mufti Malaysia.
Zaid dilaporkan berkata kerajaan tidak sepatutnya membiarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Mufti Malaysia membuat 'undang-undang' sesuka hati.
Menurut Zaid, ini kerana penggubalan perundangan negara tidak bersandarkan pandangan agama, tetapi sebaliknya diputuskan di Parlimen seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan Malaysia.
Dr Ibrahim berkata pihaknya ingin memberi penjelasan berhubung kenyataan Zaid tersebut supaya perkara itu tidak menimbulkan kekeliruan kepada umum.
Sehubungan itu, beliau berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan muzakarah dari masa ke semasa bukan untuk membuat undang-undang kerana ianya tidak termasuk dalam bidangkuasanya.
Hukum syarak
"Muzakarah yang diadakan ialah untuk membincang dan membuat keputusan secara majoriti tentang sesuatu hukum bagi sesuatu isu atau perkara yang dimuzakarahkan," katanya.
Umpamanya, kata beliau, perbincangan mengenai isu peraduan atau kuiz SMS baru-baru ini, adalah ditimbang dari segi hukum syarak.
"Maka keputusan yang dicapai, setelah mengambil kira semua dalil dari sumber-sumber hukum syarak, ternyata peraduan melalui SMS mengandungi elemen-elemen judi yang diharamkan oleh Islam. Maka sebab itulah kuiz SMS itu difatwakan sebagai haram," katanya.
Menurutnya lagi, fatwa itu, bagaimanapun, tidak menjadi undang-undang dan tidak mengikat sesiapa pun untuk mematuhinya dari segi perundangan kerana ia harus dibawa ke negeri-negeri oleh muftinya.
"Dan sekiranya dipersetujui untuk diwartakan di negeri-negeri, maka proses perwartaan ini akan berjalan mengikut prosedur dan enakmen undang-undang di negeri tersebut," tegasnya.
Apabila ia diwartakan di negeri, pada masa itu barulah fatwa tersebut akan menjadi undang-undang yang berkuatkuasa di negeri berkenaan, kerana hal-ehwal agama terletak di bawah kuasa Raja di negeri masing-masing.
Dr Ismail berkata, jika fatwa itu tidak diwarta, maka ia hanya menjadi panduan agama kepada orang Islam yang ingin mematuhinya.
Pentadbiran agama
Bagaimanapun, katanya, apabila Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kuiz SMS adalah perjudian diharamkan oleh Islam, ia dibuat tanpa kuatkuasa undang-undang pun.
Namun begitu, katanya, ada pihak-pihak yang telahpun mematuhi fatwa tersebut secara sukarela semata-mata kerana ingin mematuhi hukum agama, walaupun ia belum menjadi undang-undang rasmi.
"Malah, sepertimana yang disuarakan oleh banyak pihak, fatwa ini seharusnya diwartakan segera di negeri-negeri supaya fatwa tidak hanya menjadi fatwa yang tidak dapat dikuatkuasakan mengikut undang-undang," tambahnya.
Oleh itu, katanya, tidak timbul isu bahawa majlis tersebut seolah-olah membuat undang-undang sesuka hati sahaja kerana tugasnya ialah menentukan sesuatu fatwa tentang hal-ehwal agama.
"Dan selama ini telah banyak undang-undang pentadbiran agama dan sebagainya yang dijalankan di negeri-negeri adalah hasil daripada fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan," tegasnya.
Mengenai kenyataan Zaid bahawa negara ini bukan negara teokratik, Dr Ismail berkata sebenarnya negara ini juga bukanlah negara sekular.
"Malah seperti yang telah diterima umum, negara ini adalah negara Islam" tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.