Abim: Hormati nasihat mufti mengenai konsert Sure Heboh
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyokong pandangan Majlis Mufti Malaysia bahawa konsert Sure Heboh anjuran TV3 sememangnya dilarang agama kerana isu kandungan dan kaedah pelaksanaannya bertentangan dengan hukum syarak.
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyokong pandangan Majlis Mufti Malaysia bahawa konsert Sure Heboh anjuran TV3 sememangnya dilarang agama kerana isu kandungan dan kaedah pelaksanaannya bertentangan dengan hukum syarak.
Bagaimanapun, Naib Presiden Abim, Yusri Mohamad berkata, isu sebenar yang menjadi kontroversi adalah Konsert Sure Heboh dan bukannya keseluruhan Karnival Sure Heboh itu sendiri.
"Kita maklum bahawa gerai-gerai pameran dan jualan serta kutipan sumbangan dalam karnival tersebut bukanlah menjadi isu utamanya.
"Oleh yang demikian, adalah tidak wajar isu Konsert Sure Heboh ini dikelirukan dengan merujuk kepada aspek-aspek lain yang terdapat dalam keseluruhan Karnival Sure Heboh anjuran TV3 tersebut," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Yusri, walaupun tidak semua jenis hiburan muzik dilarang dalam ajaran Islam, namun bentuk muzik dan gelagat sebahagian pelaku dalam Konsert Sure Heboh umumnya bertentangan dengan ajaran Islam.
"Kalaupun ada kandungan nasyid atau "lagu-lagu positif" diikut-sertakan, hukumnya masih tidak berubah kerana masih terdapat kandungan yang haram di dalamnya. Umumnya, kandungan konsert yang dilarang lebih banyak dan lebih menonjol.
"Dari segi perjalanan Konsert Sure Heboh itu pula, terdapat suasana yang menggalakkan beberapa perbuatan yang jelas dilarang agama seperti pergaulan bebas, suasana melalaikan, pengabaian solat fardhu, remaja pulang lewat malam, pembaziran masa dan tenaga," tambahnya.
Membina sahsiah
Di dalam ajaran Islam, katanya, sesuatu yang boleh membawa dan membuka pintu kepada yang haram adalah haram hukumnya.
Sehubungan itu, tambahnya, Abim menerima baik pandangan Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria, sebagai mewakili Majlis Mufti Malaysia yang memutuskan bahawa konsert tersebut haram.
Yusri menyifatkan peringatan, pandangan majlis tersebut mencerminkan keprihatinan mendalam mereka yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan negeri masing-masing untuk membina sahsiah dan peribadi masyarakat beragama di Malaysia.
"Kita juga memahami hakikat bahawa Majlis Mufti Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk membetulkan suasana di mana sesuatu amalan yang salah diamalkan secara meluas, keterlaluan dan terbuka dalam masyarakat.
"Abim merasakan keputusan Majlis Mufti Malaysia tentang Konsert Sure Heboh lebih berbentuk nasihat dan peringatan. Walaupun ia bukanlah satu fatwa rasmi, nasihat dan penjelasan tersebut wajar dialu-alukan dan diberi pertimbangan sewajarnya oleh semua pihak," tegas Yusri lagi.
Pandangan tersebut, tambahnya, masih perlu dihormati kerana ia merupakan penjelasan hukum-hakam agama Islam oleh pihak yang berautoriti dan berkepakaran dalam bidang tersebut.
Malah, katanya, Abim bimbang dengan kebanjiran program hiburan dan konsert yang dikhuatiri membawa lebih banyak kesan negatif terutamanya kepada generasi muda.
"Walaupun hiburan memang sesuatu yang perlu dan diizinkan, namun Abim berpandangan bahawa penekanan dan penonjolannya sudah melebihi kadar yang sepatutnya," tambahnya.

