Firma luar negara dilantik kaji TPPA
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sudah melantik sebuah firma luar negara bagi menjalankan kajian manfaat kos berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).
Tanpa mendedahkan nama firma itu, menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi jaminan bahawa kajian itu dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.
"Kita akan laksanakan kajian manfaat kos dan ini kita akan adakan dalam tempoh terdekat.
"Seminggu dua ini kita akan bekerjasama sebuah firma untuk kita jalankan kajian ini sama ada ia terbaik untuk Malaysia atau sebaliknya," kata Mustapa dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Mustapa, firma yang dilantik tersebut akan memberi input kepada kerajaan untuk sama perlu menyertai TPPA atau sebaliknya.
Apabila ditanya mengapa firma antarabangsa dilantik dalam mengkaji perjanjian tersebut, Mustapa berkata terdapat banyak klausa yang membabitkan TPPA yang perlu penelitian.
"Kita bukan perlu sahaja firma berwibawa tapi firma yang mempunyai pakar-pakar antarabangsa kerana perjanjian ini meliputi aspek yang luas," katanya.

