PKR membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap kemudahan penjara diberikan kepada ketua umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh.

Timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali berkata sel tempat Anwar dipenjara “uzur” , tidak selesa dan tiada kemudahan untuk membaca.

“Kalau menteri dalam negeri boleh hantar surat sokongan kepada gengster, mengapa tidak diberi kemudahan kepada Anwar?

“Dia (Anwar) menjalani pembedahan besar sebelum ini, tapi dibiarkan di atas lantai dengan tilam yang hanya satu inci, tidak ada meja dan kerusi untuk membaca,” katanya di kompleks mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur.

Beliau menyatakan kebimbangannya terhadap kesakitan tulang belakang yang dideritai Anwar.

Azmin dipercayai merujuk kepada tindakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi yang menulis surat menjelaskan status 'raja judi' Paul Phua kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat.

Azmin juga berkata, PKR sudah menghantar permohonan kepada penjara supaya Anwar diberi kemudahan asas.

Ini kerana Anwar sebelum ini menjalani pembedahan besar dan perlu tempat yang sewajarnya, katanya.

“Kita minta kemudahan asas untuk tahanan politik ini dan sedang diuruskan oleh peguam supaya pihak penjara dapat membekalkan kemudahan asas,” katanya.

Jelasnya, PKR tidak mendesak pihak penjara memberikan layanan orang kenamaan (VIP) seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Penjara semalam sudah menjelaskan bahawa Anwar akan dilayan setara dengan banduan lain dan tiada keistimewaan.