Budak sekolah ditahan disyaki terbabit IS
Polis menahan seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam kerana dipercayai cuba menyertai jihad kumpulan militan IS di Syria.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pelajar terbabit telah membuat persiapan untuk perjalanan ke Syria menerusi Mesir dan polis percaya pelajar itu mempunyai rakan atau orang hubungan di Mesir.
"Gadis tersebut terpengaruh dengan dakyah dalam laman sosial Facebook," katanya kepada pemberita sempena pelancaran Kempen Balik Kampung Ops Selamat 6/2015 sempena sambutan Tahun Baharu Cina di plaza tol Jalan Duta di ibunegara hari ini.
"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan dalang kes ini bagi mengetahui bagaimana pelajar terbabit mendapat tiket dan wang bagi menampung perbelanjaan untuk ke sana (Syria)," katanya.
Khalid menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau perkembangan anak-anak mereka agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang hasutan luar, yang hanya merosakkan masa depan mereka.
Pelajar perempuan terbabit kini ditahan reman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Dalam pada itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata universiti itu akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan untuk siasatan kes itu.
Menurutnya, USM belum mendapat maklumat terperinci mengenai penahanan pelajar itu.
"Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan sewajarnya dan jika terbukti melanggar undang-undang negara, (USM) akan akur kerana USM juga memandang serius isu berkaitan keselamatan negara," katanya kepada Bernama.
Ketua Komunikasi Korporat Unisel, Hasril Abu Hassan pula berkata pihak universiti sedia maklum bahawa penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan.
"Untuk tidak mengganggu siasatan berhubung perkara itu, pihak university tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan bercanggah.
"Cukuplah hanya sekadar memahami keperluan itu dan berharap penuntut Unisel dan USM berkenaan didapati tidak bersalah dan dikecualikan daripada sebarang tindakan undang-undang selepas siasatan selesai," katanya dalam kenyataan hari ini.
- Bernama

