Satu kumpulan dalam MCA menyatakan kekecewaan dengan pemimpin tinggi parti itu yang membiarkan menteri Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telepas daripada tindakan.

Kumpulan dinamakan Jawatankuasa Hati Nurani Akar Umbi MCA menegaskan bahawa MCA perlu terus membangkitkan isu berkenaan sehingga Ismail memohon maaf.

“Parti sudah berikrar untuk bertindak agar Ismail Sabri bertanggungjawab. Pada mulanya, (MCA) garang seperti harimau, sekarang perkembangannya menyedihkan,” kenyataan jawatankuasa itu dipetik.

Ia turut menggariskan bahawa masyarakat Cina berang dengan kenyataan “rasis” Ismail, yang menyeru orang Melayu memboikot peniaga Cina yang tidak menurunkan harga barang.

“Jika MCA putus asa sebelum menteri minta maaf, ia bukan sahaja hilang keyakinan orang ramai dan akar umbi, parti juga tidak boleh menggembleng sokongan untuk kebangkita semula,” kenyataan itu dipetik.

Pengasas kumpulan itu, Yap Ah Seng berkata, mereka kecewa kerana kenyataan keras oleh pengerusi Pemuda MCA, Chong Sin Woon tidak disokong oleh parti.

Katanya, MCA tidak harus memandang ringan perkara itu kerana rakyat akan mengingati kenyataan yang mengguris hati tersebut.

Pengundi akan menyampaikan kemarahan dan kekecewaan mereka melalui undi, katanya lagi.

[Baca berita asal]