Pakar: Ekonomi mencabar tapi tak melampau
Sememangnya tidak dapat dielakkan kejatuhan harga minyak global menjejaskan persepsi pasaran terhadap ekonomi negara, namun pakar ekonomi masih yakin dengan prestasi Malaysia.
Ahli Ekonomi Negara Kanan Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Frederico Gil Sander berkata keadaan ekonomi semasa memang mencabar tetapi tidaklah melampau.
"Semakan semula lebih rendah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 dan 5.5 peratus masih bagus memandangkan purata global ialah tiga peratus," katanya kepada Bernama.
Untuk 2015, Bank Dunia menjangka Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK pada 4.7 peratus dan kekal di laluan pertumbuhan untuk dua tahun akan datang dengan unjuran masing-masing 5.1 dan 5.2 peratus bagi 2016 dan 2017.
Gil Sander berkata bagi masa depan, pengukuhan fiskal masih merupakan dasar tepat untuk membolehkan negara membina penampan fiskalnya.
Menurut laporan Prospek Ekonomi Global yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, Malaysia antara sebilangan kecil negara yang berupaya memanfaatkan pengukuhan permintaan global terhadap eksport di rantau ini.
Ini, menurut laporan itu, boleh dilakukan dengan mempelbagaikan asas pengeluaran, integrasi ke dalam rantaian bekalan serantau, kos tenaga kerja yang kompetitif dan kestabilan politik.
Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi IQI Holdings Sdn Bhd, Shan Saeed berkata kerajaan telah melakukan tugas yang baik dalam menguruskan ekonomi negara dengan dasar-dasar yang berkesan dan berkemampuan menangani cabaran.
Sekalipun menghadapi pelbagai halangan terutama pada suku keempat 2014, Malaysia berjaya mencatatkan pertumbuhan KDNK 5.8 peratus bagi suku berkenaan, dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta.
"Apa yang saya suka tentang Malaysia ialah ekonominya konsisten dan kerajaan pula menunjukkan yang ia sentiasa dapat mengawal keadaan.
"Saya percaya trend pengukuhan KDNK ini akan berterusan pada 2015 dan menjangka Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi antara lima dan 5.5 peratus tahun ini," katanya.
- Bernama

