Undian SMS TV3: Penonton pilih PAS menangi semula Kuala Berang
Undian melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) TV3 semasa Buletin Utama semalam telah memihak kepada PAS apabila penonton memilih parti itu untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang dalam pilihanraya kecil pada 28 Ogos ini.
Undian melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) TV3 semasa Buletin Utama semalam telah memihak kepada PAS apabila penonton memilih parti itu untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang dalam pilihanraya kecil pada 28 Ogos ini.
Dan ketika ditanya mengenai keputusan undian SMS tersebut, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, soalan itu tidak relevan dan tidak kena pada tempatnya.
Dalam undian tersebut, penonton ditanya mengenai keputusan pilihanraya kecil Kuala Berang, sama ada akan dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) atau PAS.
Hasilnya, majoriti para penonton telah menghantar SMS memilih PAS untuk memenangi semula kerusi DUN Kuala Berang.
Dalam pilihanraya umum Mac lalu, calon BN, Komaruddin Abdul Rahman memperolehi 5,926 undi untuk menewaskan calon PAS Dr Mamad Puteh dengan majoriti 1,695 undi.
Bernama memetik Radzi sebagai berkata, undian tersebut tidak mencerminkan kedudukan sebenar keadaan di Kuala Berang kerana ia diundi oleh pelbagai pihak dari luar Kuala Berang.
Pengundi pos
"Perkara ini juga boleh menimbulkan kemarahan kepada pengundi Kuala Berang kerana sepatutnya perkara itu biar ditentukan sendiri semasa hari pengundian nanti," katanya kepada pemberita di Hulu Terengganu hari ini.
Semalam, SPR mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Kuala Berang akan diadakan pada 16 Ogos ini.
Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan
kematian Komaruddin
pada 30 Julai lalu selepas rebah ketika bersarapan bersama keluarganya di Genting Highlands.
Seramai 11,430 pengundi berdaftar termasuk 130 pengundi pos layak mengundi dalam pilihanraya kecil tersebut.
Sebelum itu, Radzi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengadakan pertemuan dengan semua ketua, setiausaha, ketua wanita, pemuda dan puteri dari 24 cawangan Umno Bahagian Hulu Terengganu.
Mengenai pilihanraya kecil tersebut, Radzi berkata, semua ahli jentera pilihanraya Umno diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mengikut peraturan yang ditetapkan sepanjang tempoh proses pilihanraya itu berjalan.
Katanya, ini kerana Umno tidak mahu berlaku sebarang masalah yang mungkin boleh timbul di sepanjang tempoh terbabit.
Bersiap sedia
Menurutnya, beliau percaya di sepanjang tempoh itu kelak, ramai akan datang untuk membantu parti, termasuk kira-kira 10,000 ahli dari luar Terengganu bagi memastikan kemenangan.
"Saya hendak ingatkan mereka, jentera perlu sentiasa ikut peraturan yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan polis, kerana kita tidak mahu timbul masalah," katanya.
Radzi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata beliau berharap ahli dan pemimpin Umno yang bertanding dalam pemilihan Umno September ini tidak mengambil kesempatan daripada pilihanraya kecil ini sebagai tempat untuk memancing undi.
Menurutnya tujuan mereka datang ke Kuala Berang adalah untuk membantu calon BN menang dalam pilihanraya dan bukannya untuk kepentingan peribadi.
"Tetapi saya percaya semua pemimpin dan anggota yang akan datang ke Kuala Berang ini tidak akan menggunakan kempen ini untuk diri mereka, tapi sebaliknya akan bekerja bersungguh-sungguh untuk parti," katanya.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata jentera pilihanraya bahagian itu tidak sabar lagi untuk memulakan tugas masing-masing.
Tengku Putera yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata bahagian berkenaan akan mula membuka markas pilihanraya mulai minggu depan.

