Polis dilaporkan menahan seorang lagi aktivis Kumpulan Kartunis Independent (KKI) hari ini kerana didakwa menghasut.

Lawrence Jeyaraj, 45, telah ditangkap di rumahnya di Taman Cuepaces kira-kira jam 6.30 petang oleh pasukan lima anggota polis sebelum dibawa ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Peguamnya, Michelle Yesudas mengesahkan bahawa Jeyaraj disiasat di bawah Akta Hasutan kerana beberapa posting Facebook.

Beliau berkata polis akan memohon perintah reman ke atasnya pagi esok.

Polis, ketika dihubungi petang ini, enggan mengesah atau menafikan penangkapan Jeyaraj.

Isteri Jeyaraj, Agnes Padan, ketika dihubungi, berkata pasukan polis itu tidak merampas apa-apa dari rumah mereka dan menahan Jeyaraj selepas menyoal suaminya itu.

Jurucakap KKI, Zulkiflee Awar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai kartunis Zunar, mengesahkan bahawa Jeyaraj merupakan ahli KKI.

 

[Baca berita penuh/asal]