Pemuda Umno PP bantah semak tambang feri
Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) bagi membantah cadangan menyemak semula kadar tarif feri, kata ketuanya Rafizal Abdul Rahim.
Rafizal berkata surat itu telah disahkan diterima oleh SPPP dan pihaknya berharap suara bantahan itu mendapat perhatian daripada pengurusan suruhanjaya berkenaan kerana kenaikan tambang yang dicadangkan terlalu drastik.
"Kadar semakan tarif yang dicadangkan itu terlalu tinggi dan memberi kesan langsung kepada golongan muda dan miskin yang terpaksa menggunakan feri sebagai pengangkutan utama dari seberang ke bahagian pulau serta sebaliknya.
"Saya juga difahamkan cadangan kenaikan itu telah lama dibuat tapi pada pendapat kami ia tidak sesuai pada masa sekarang kerana rakyat sudah banyak terbeban dengan kenaikan harga barangan dan kadar tarif yang macam-macam di Pulau Pinang ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pada Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Parlimen Batu Kawan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Impian di sini hari ini.
Bernama pada hari Selasa melaporkan SPPP bercadang membuat semakan tarif bagi perkhidmatan ferinya.
Jurucakap SPPP berkata mengikut cadangan itu, kadar tambang motosikal bakal dinaikkan daripada RM2 kepada RM3.50, kereta daripada RM7.70 kepada RM9, pejalan kaki daripada RM1.20 kepada RM2 dan basikal daripada RM1.40 kepada RM1.50 sen.
Beliau berkata orang ramai boleh mengemukakan pendapat mengenai kenaikan itu sebelum atau pada 2 Mac sebelum keputusan muktamad dibuat.
Bernama

