Kira-kira 100 ahli Badan Peguam Malaysia mendesak Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong supaya menarik balik kenyataannya berhubung sabitan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap tuduhan liwat.

Mereka mendesak Leong membuat permohonan maaf secara terbuka kepada badan kehakiman dan juga kepada semua badan-badan antarabangsa.

Ahli Badan Peguam Malaysia, Mohd Noor Amin (kanan sekali) berkata jika Leong gagal

untuk berbuat demikian, mereka akan mengambil semua "langkah yang perlu" untuk mendesaknya meletak jawatan sebagai presiden Badan Peguam Malaysia.

 

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, beliau berkata, pihaknya juga akan menggesa Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail) mengambil prosiding menghina terhadap Leong.

Rungutan ahli-ahli berkenaan ialah berhubung dengan kenyataan Leong bertarikh 11 Februari, sehari selepas Anwar disabitkan.

Leong, dalam kenyataan itu berkata Anwar telah "dianiaya" dan bukannya "didakwa".

Kumpulan itu bagaimanapun berkata, mereka akan memberikan Leong selama 14 hari untuk menariknya balik .

Sementara itu, mereka juga menegaskan walaupun Leong telah mengakui beliau tidak membaca penghakiman Mahkamah Persekutuan apabila mengeluarkan kenyataan itu, tetapi beliau sebaliknya membuat "kenyataan yang memperkecil-kecilkan” bahawa ianya tanpa “sebarang asas dalam undang-undang"."

Dalam reaksi segeranya, Leong menggalakkan 100 ahli berkenaan

menghadiri mesyuarat agung tahunan Badan Peguam Malaysia pada 14 Mac untuk mengemukakan pandangan mereka.

Katanya badan itu mengalu-alukan pandangan ahli dan rungutan mereka hendaklah dibangkitkan dalam AGM di mana ramai ahli Badan Peguam akan hadir.

"Kami menggalakkan dan mengalu-alukan semua ahli menghadiri mesyuarat agung tahunan Badan Peguam Malaysia pada 14 Mac untuk membangkitkan sebarang isu dan mengemukakan pandangan mereka," katanya ketika dihubungi.

[Baca berita penuh/asal]