Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tiada larangan terhadap ahli PAS yang menyertai mana-mana NGO termasuk Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) untuk bertanding dalam pemilihan parti Islam itu kali ini.

“Peraturan tidak halang mana-mana ahli yang terlibat dengan NGO dan tidak ada sekatan, seperti PasMa, Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia) dan lain-lain.

“Selagi (dia) ahli PAS dan tepati syarat, layak untuk jadi calon,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Asmuni Awi dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Beliau menegaskan bercakap secara umum dan tidak hanya merujuk kepada PasMa sahaja.

PasMa yang diterajui oleh Datuk Phahrolrazi Zawawi, dilihat sebagai tidak sebulu dengan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kumpulan ulama dalam parti itu.

Majlis Syura Ulama PAS juga mengeluarkan arahan melarang ahli-ahli parti menyertai pertubuhan itu.

Hala tuju PAS

Pemilihan kali ini dilihat penting dalam menentukan arah tuju PAS dalam Pakatan Rakyat dan sama ada kerjasama politik gabungan pembangkang diteruskan.

Pemilihan PAS dijadualkan berlangsung semasa Muktamar PAS ke-61 pada 4 hingga 6 Jun tahun ini.

Ia dijangka hangat susulan pelbagai isu dan kemelut melanda parti Islam tersebut.

Pemilihan jawatan-jawatan penting dalam PAS diadakan setiap dua tahun sekali.

Sementara itu, dalam sidang media hari ini, Asmni mengingatkan supaya pihak yang bertanding mengambil bahagian secara sihat tidak melanggar peraturan.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk bawa ke lembaga disiplin,” katanya.

Sebanyak 27 jawatan peringkat pusat dipertandingkan, sementara bagi peringkat kawasan pula sebanyak 24 jawatan perlu dipilih.

Tarikh tutup untuk pencalonan peringkat pusat adalah pada 30 April ini.

Lihat Komen
ADS