Pemilik rangkaikan kedai buku Borders mengulangi gesaannya kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Wilayah Persekutuan agar menggugurkan tuduhan syariah ke atas pengurus stornya, Nik Raina Nik Abdul Aziz.

Prosiding syariah itu ditetapkan untuk sebutan esok, walau Mahkamah Rayuan mengenepikan rayuan JAWI ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa serbuan jabatan tersebut ke atas kedai buku Borders pada 2012 itu tidak mengikut undang-undang.

Nik Raina didakwa di Mahkamah Syariah pada 19 Jun 2012 kerana didakwa mengedar penerbitan didakwa bercanggah dengan Islam.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun mendapati JAWI bertindak dengan tidak mengikut undang-undang kerana serbuan itu dibuat sebelum pewartaan pengharaman buku ‘Allah, Kebebasan dan Cinta' oleh penulis Kanada, Irshad Manji.

“Sudah tiga tahun berlalu sejak Nik Raina kehilangan kebebasan mutlaknya dan menjadi individu dalam jaminan.

“Sudah tiga tahun berlalu sejak Nik Raina terpaksa menghadapi kesukaran hidupnya, termasuk pandangan serong dari kalangan masyarakat Islam,” kata jurucakap Borders, Yau Su Peng.

Yau merupakan ketua pegawai operasi Berjaya Books Sdn Bhd yang memiliki Borders.

Borders sebelum ini memohon kepada JAWI agar tuduhan syariah ke atas Nik Raina digugurkan ekoran keputusan mahkamah sivil itu.

Keputusan berkenaan bagaimanapun tidak diendahkan oleh JAWI, kata Yau.

Menurutnya, Nik Raina sekurang-kurangnya patut dilepaskan tetapi tidak dibebaskan, untuk membolehkannya bebas semula.