Kepimpinan Umno kini seolah-olah dilanda kebimbangan mengenai kemungkinan ada di kalangan calon-calon yang bertanding jawatan tertinggi parti, menggunakan wang untuk membeli undi.

Ini berikutan tidak henti-henti ingatan yang disuarakan oleh kepimpinan tertinggi Umno sejak mesyuarat peringkat bahagian selesai diadakan bulan lalu, dan calon-calon sedang membuat persiapan untuk menghadapi pemilihan parti September ini.

Malah, baru-baru ini, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin secara terbuka menasihatkan pemimpin-pemimpin Umno di peringkat akar umbi yang sudah membanjiri Kuala Lumpur, walaupun pemilihan parti hanya pertengahan bulan depan, supaya pulang ke kampung masing-masing.

Kini giliran ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Aziz Shamsuddin pula mengingatkan calon-calon yang bertanding dalam pemilihan Umno September ini supaya tidak merendahkan harga diri mereka dengan meletakkan harga untuk mendapatkan undi.

Bernama memetik Aziz yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sebagai berkata, mereka sepatutnya membiarkan orang lain menilai kewibawaan diri masing-masing.

"Kita jangan guna wang untuk membeli undi. Kita bukan mahu beli jawatan tetapi perlu berkorban kerana sebagai pejuang, kita perlu fikir apa yang terbaik untuk masyarakat yang dipimpin," katanya.

Beliau yang akan mempertahankan jawatan tersebut, memberitahu pemberita demikian selepas majlis perjumpaan dengan kakitangan dan jawatankuasa aktiviti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pulau Pinang malam tadi.

Menurutnya, pemimpin yang menggunakan wang untuk membeli undi memberikan implikasi yang tidak baik kepada masyarakat dalam masa jangka panjang.

Orang muda

"Ini tidak baik untuk masa depan negara. Biarlah rakyat menilai kita kerana kepimpinan yang baik dan bukan kerana perkara-perkara lain," jelas beliau yang turut bertanding bagi merebut jawatan ahli MT pemilihan itu.

Sementara itu, Pemuda Umno Terengganu akan mengerahkan lebih 1,000 ahlinya untuk membantu Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang pada 28 Ogos ini.

Ketuanya Din Adam berkata, bagi tujuan itu, pergerakan tersebut akan mengaktifkan semula Unit Gerak Gempur Pemuda Perkasa bagi membantu calon BN menarik sokongan golongan muda sepertimana dalam pilihanraya umum Mac lalu.

"Kita juga sudah mengenal pasti isu-isu yang akan diketengahkan dalam kempen itu nanti dan kita yakin, pengundi Kuala Berang akan terus memberikan sokongan kepada BN," katanya kepada Bernama .

Pilihanraya kecil DUN Kuala Berang diadakan berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Komaruddin Abdul Rahman, 46, pada 30 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 16 Ogos ini sebagai hari penamaan calon dan 28 Ogos sebagai hari mengundi.

Din yang juga Pengerusi Jawatakuasa Kebudayaan, Belia, Sukan dan NGO Negeri berkata jentera pilihanraya Pemuda Umno Terengganu akan dilancarkan di di Kuala Berang pada 15 Ogos ini oleh Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Tun Hussein.

"Dan berdasarkan perkembangan yang berlaku, kita yakin Kuala Berang akan kekal di tangan BN," katanya.