Barisan Nasional (BN) tidak akan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen dalam pilihanraya kecil Kuala Berang pada 28 Ogos depan.

Ketika menegaskan demikian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jentera kerajaan sebenarnya bertujuan untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.

Bernama memetik beliau sebagai berkata, ia untuk memastikan rakyat memahami dengan lebih baik segala asar, program dan usaha yang dijalankan untuk menentukan kesejahteraan mereka.

Najib menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa peluang partinya untuk menang mungkin terjejas jika BN menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

Mengenai pemilihan calon BN di Kuala Berang, Najib berkata, Umno akan memilih anak tempatan yang popular dan diterima masyarakat untuk bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Katanya, walaupun bakal calon itu adalah dari Umno di situ, terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan sama ada orang berkenaan dari kalangan ahli jawatankuasa bahagian tersebut ataupun tidak.

"Pokoknya dia anak tempatan yang dianggap popular dan boleh menjamin kemenangan," katanya kepada pemberita.

Pemilihan calon

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Komaruddin Abdul Rahman, 46, dari Barisan Nasional pada 30 Julai lalu.

Komaruddin menewaskan calon PAS Dr Mamad Puteh dengan majoriti 1,695 undi pada pilihan raya umum Mac lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 16 Ogos ini sebagai hari penamaan calon dan 28 Ogos untuk pengundian.

Najib berkata, pemilihan calon daripada kalangan beberapa tokoh akan dibuat dalam masa terdekat ini.

Mengenai hasrat PAS untuk meletak calon wanita jika Umno berbuat demikian, beliau berkata PAS boleh memilih siapa sahaja yang dikehendakinya.

"Dari segi wanita, kita dah dahului mereka. PAS baru sedar hendak calon wanita. Bagi kita, tidak kira wanita, asalkan calon berwibawa," katanya.