Kita menang dalam pilihan raya tetapi kita mengalami kemerosotan undi yang ketara. Kita kehilangan Terengganu dan gagal merampas Kelantan. Kita kehilangan beberapa kerusi di Kedah, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri keseluruhannya, parti-parti pembangkang dapat menawan 113 daripada 394 kerusi yang dipertandingkan.

Gabungan parti-parti pembangkang telah menambahkan bilangan kerusi di Dewan Rakyat dengan menawan 45 daripada 193 kerusi yang dipertandingkan.

Umno yang menguasai 89 kerusi di Dewan Rakyat sebelum pilihan raya 1999 kini hanya tinggal 72 kerusi.

Keputusan pilihan raya ini perlu diteliti secara terperinci. Umno harus membaca mesej yang telah disampaikan oleh rakyat melalui peti undi.

Pengundi-pengundi Melayu terutama dari kalangan generasi muda bertambah kritikal terhadap Umno. Pembangunan fizikal tidak lagi memberi jaminan bahawa Umno akan terus mendapat sokongan rakyat.

Pengundi dahagakan khidmat langsung daripada wakil-wakil rakyat yang mereka pilih. Pengundi menuntut agar wakil-wakil rakyat menyuarakan rintihan mereka kepada kerajaan. Program-program besar kerajaan tidak ada ertinya jika rakyat tidak memahami.

Rakyat meneliti nilai-nilai moral pemimpin dan merasa mual dengan gelagat pemimpin yang mempamerkan kemewahan secara berlebihan. Budaya telus dan terbuka, ikhlas dan jujur, rendah diri dan sedia berkhidmat, menjadi syarat yang wajib dipenuhi.

Kejayaan yang dicapai oleh Pemuda Umno sebelum ini adalah atas keprihatinan Pergerakan Pemuda memenuhi tuntutan perjuangan secara berani. Tokoh-tokoh terdahulu banyak berjasa memantapkan imej pergerakan kita melalui keberanian mereka membawa perubahan.

Sekarang giliran kita pula.

Kita mesti tangkas dan sanggup mengubah agenda dan pendekatan untuk disesuaikan dengan tuntutan zaman. Pemuda Umno perlu mempunyai agenda baru, merangka rancangan dan melaksanakan program sehingga ke akar umbi.

Pemuda harus diperlengkapkan untuk berupaya mengemudi bahtera generasi muda mengharungi ombak dan gelombang perubahan. Untuk itu Pergerakan Pemuda bercadang memberikan tumpuan kepada lapan gagasan utama untuk kita jadikan program nasional.

Pertama, untuk kita menyelami diri dalam usaha memberi erti kepada perjuangan kita. Sejarah, falsafah, matlamat, pengorbanan dan sumbangan parti didokumentasi secara rapi untuk dijadikan rujukan semoga setiap ahli disemaikan rasa bangga menjadi ahli parti. Pernyataan misi Pergerakan Pemuda dikemaskini untuk dijadikan pegangan dan pedoman supaya setiap ahli memiliki identiti kita.

Kedua, berusaha menanamkan budaya berasaskan nilai-nilai murni, luhur, bersopan dan bertertib, bertiangkan agama dan bersendikan adat. Kecemerlangan, perkhidmatan, pengorbanan dan kewibawaan dijadikan budaya di kalangan barisan Pemuda.

Ketiga, berani berada di barisan hadapan mempelopori kebangkitan Islam dan membawa perspektif Islam yang sebenar. Berupaya memimpin jemaah dalam menunaikan tuntutan fardhu ain melalui program-program yang dapat meningkatkan iman dan takwa di samping meningkatkan peranan memenuhi tanggungjawab fardhu kifayah.

Keempat, mengembalikan peranan Pergerakan Pemuda sebagai juru bicara menyampaikan tuntutan dari hati nurani rakyat. Pemuda Umno perlu berani dan tegas menyampaikan teguran-teguran ikhlas dan jujur dengan cara bersopan, membina dan bertanggungjawab.

Kelima, menumpukan usaha meningkatkan prestasi pencapaian anak-anak Melayu dalam bidang pendidikan terutama hasrat melahirkan anak bangsa yang mampu menguasai ilmu dan kemahiran. Memastikan jurang penguasaan ilmu dan pengetahuan akan dapat dirapatkan.

Keenam, berusaha menentukan matlamat Dasar Ekonomi Baru dari segi pemilikan ekuiti dan penyusunan semula masyarakat tercapai melalui pelan tindakan yang lebih berkesan. Memperkukuh golongan menengah Melayu yang berkemampuan untuk merebut peluang-peluang dalam era ekonomi yang berpaksikan pengetahuan.

Ketujuh, menyuntik bakat-bakat muda baru ke dalam Pergerakan Pemuda agar Umno sentiasa segar menghijau, sepanjang zaman sepanjang masa. Berpegang bahawa Umno akan terpelihara dan negara akan bertambah makmur jika pimpinan mempunyai iman dan takwa, dan insaf bahawa urusan dunia akan turut dipersoalkan oleh Allah.

Kelapan, memastikan kepimpinan Pemuda berupaya menafsir dan menterjemahkan demokrasi yang merangkumi hak asasi manusia, kebebasan bersuara, kebebasan media dan kebebasan kehakiman mengikut acuan kita sendiri.

Gagasan baru perjuangan ini adalah hasrat luhur kita membawa pembaharuan kepada perjuangan Pemuda alaf ini. Pelan tindakan yang jitu akan diatur bersama-sama Jawatankuasa Pergerakan dan seluruh ahli Pemuda Umno untuk merealisasikan gagasan ini.

Sampaikanlah mesej kita ini ke setiap pelusuk negara agar ia didukung dan disokong oleh setiap ahli di kalangan kita dalam mencipta era baru.


Sedutan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk HISHAMMUDDIN HUSSEIN, pada 10 Mei, 2000 di Kuala Lumpur. Ia diterbitkan di sini sebagai siri rakaman ucapan penting politik nasional.