Saya serius tanding naib presiden: Adnan
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menafikan kononnya beliau tidak serius untuk bertanding jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti itu bulan depan.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menafikan kononnya beliau tidak serius untuk bertanding jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti itu bulan depan.
"Saya benar-benar bersungguh-sungguh bertanding jawatan itu, bukan main-main," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco negeri di sini, hari ini.
Adnan, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, berkata beliau mendapat maklumat balas dari kalangan ahli Umno di negeri-negeri lain yang menganggap beliau tidak serius bertanding jawatan itu pada perhimpunan agung parti dari 21 hingga 25 Sept ini.
Bernama memetik beliau sebagai berkata, amalannya yang tidak berkempen setakat ini mungkin menyebabkan sesetengah ahli Umno menganggap dirinya tidak serius untuk bertanding jawatan itu.
"Sebenarnya saya bukannya tidak mahu berkempen tetapi saya tidak ada platform untuk berkempen ke negeri-negeri lain. Saya akan berkempen selepas ini, saya akan bergerak dengan etika parti.
"Bagaimana caranya (untuk berkempen) saya akan fikirkan. Saya anggap kalau saya pecut awal, nanti pertengahan jalan jadi penat," kata Adnan.
Cukup pencalonan
Beliau adalah antara lapan calon yang layak bertanding jawatan itu selepas memperolehi 35 pencalonan. Jumlah minimum ialah 20 pencalonan.
Selepas selesai mesyuarat Umno bahagian bulan lalu, penyandang jawatan naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yasin mendapat 159 pencalonan dan Tan Sri Muhamad Muhd Taib mendapat 88.
Manakala Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mendapat 119 pencalonan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamed, (66), Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Samad (37) dan Ahli Parlimen Johor Bahru Datuk Shahrir Samad (25).
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar pula mendapat 22 pencalonan tetapi telah mengumumkan tidak akan bertanding jawatan naib presiden kerana mahu menumpukan kepada kerusi Majlis Tertinggi.
Mengenai peluangnya, Adnan berkata semua calon yang bertanding jawatan itu berpeluang untuk menang.
"Perwakilan juga sudah kenal siapa calon-calon itu dan mereka akan membuat pilihan," katanya.

