Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Asri gopoh dan memalukan, kata Kazim
Diterbitkan:  Mar 5, 2015 12:32 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Penceramah popular Datuk Kazim Elias menyelar kembali Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menolaknya sebagai penceramah susulan kenyataannya tentang hadis "roti jala dicelup kuah kari”.

Malah, Kazim menyifatkan keputusan Jabatan Mufti Perlis yang tidak bersetuju pemilihannya sebagai ahli panel forum perdana sempena keputeraan Raja Perlis sebagai tindakan gopoh dan memalukan.

Ini kerana, Kazim berkata, dakwaan itu tidak sewajarnya dilakukan oleh Asri ( kiri ) sebagai mufti dan dibuat tanpa peluang memberikan penjelasan, lapor Utusan Malaysia.

“Saya dimaklumkan mengenai pembatalan jemputan saya ke majlis berkenaan dua minggu lalu, namun saya tidak mahu menghebahkan perkara ini demi menjaga air muka mereka yang berkaitan.

“Namun, apabila berlaku penyebaran surat tersebut, saya kesal kerana ini tidak adil, saya tidak diberi peluang untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan.

“Selepas ini mungkin ada yang melabelkan saya penyebar hadis palsu dan tidak lagi dijemput untuk mengadakan ceramah," katanya lagi seperti dilaporkan akhbar Umno itu.

'Hanya perbandingan'

Sementara itu, Kazim juga menjelaskan kenyataan berkaitan hadis "roti jala dicelup kuah kari" dan “kurma celup tepung” yang disampaikannya hanya perbandingan.

Menurut Kazim, perbandingan itu dibuat kerana di Malaysia, roti jala dicicah dengan kuah kari masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.

“Saya cuma kata roti jala pun boleh dijadikan hidangan dalam kenduri masyarakat Islam untuk bagi orang faham," Kazim dipetik sebagai  berkata dalam akhbar Utusan Malaysia .

Sehubungan itu, Kazim melahirkan rasa kesal apabila surat daripada Jabatan Mufti Perlis menyebut beliau sering terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu.

Katanya, ia seolah-olah menggambarkan beliau sering terlibat dengan penyebaran hadis yang salah.

"Jika benar dakwaan itu, saya mahu tahu di mana dan bila saya membacakan hadis-hadis palsu yang didakwa.

"Jika benar, saya sedia memberikan penjelasan,” katanya lagi seperti dilapor akhbar itu.

 

Lihat Komen
ADS