Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem digesa menggunakan hubungannya yang dikatakan baik dengan kerajaan pusat untuk mengurangkan penduduk Malaysia Barat sebagai ketua dan timbalan ketua di jabatan persekutuan di Sarawak.
“Jika Adenan serius melindungi kepentingan rakyat Sarawak, beliau patut mengambil tindakan segera untuk mengurangkan jumlah orang Malaysia Barat memegang kedudukan tinggi dalam jabatan kerajaan dan agensi kerajaan di Sarawak.
“Saya pasti jumlah anak Sarawak yang memegang kedudukan tinggi sebegini dalam jabatan kerajaan dan agensi pusat di Malaysia Barat amat sedikit atau hampir tidak ada,” kata Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen ( atas ).
Dalam sidang media di Kuching baru-baru ini, Chong merujuk jawapan Parlimen Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim pada Julai lalu berhubung jumlah sebenar anak Sarawak yang mengetuai jabatan dan agensi di Sarawak.
Jawapan itu menyebut, terdapat 103 kedudukan sebagai ketua di jabatan dan agensi pusat di Sarawak.
Daripada jumlah itu, 64 badan diketuai anak Sarawak, tiga Sabah dan 36 penduduk Malaysia Barat, kata anggota parlimen Banar Kuching itu.
