Jangan pertikai laungan azan, titah Pemangku Raja Pahang
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak supaya tidak membesarkan isu agama seperti mempertikaikan laungan azan yang diamalkan oleh umat Islam di negara ini.
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak supaya tidak membesarkan isu agama seperti mempertikaikan laungan azan yang diamalkan oleh umat Islam di negara ini.
Menurut baginda, ketika negara di bawah pemerintahan British pun, mereka tidak melarang atau mencegah amalan umat Islam melaungkan azan seperti sekarang.
Menurut Bernama , baginda berharap isu yang menyentuh amalan agama Islam patut dihentikan serta-merta kerana ia boleh menimbulkan masalah perpecahan kaum di negara ini.
"Agama Islam sudahpun termaktub dalam Perlembagaan negara sebagai agama rasmi manakala agama lain bebas diamalkan di negara ini," kata baginda ketika merasmikan majlis pecah tanah projek masjid baru Kampung Desa Bakti Mukim Mentakab, Temerloh hari ini.
Baginda berkata umat Islam di negara ini harus bersyukur kerana hidup dalam aman damai dan kerajaan pula sentiasa melaksanakan pembangunan dan kemudahan untuk rakyat.
Rabu lalu, Umno Shah Alam membuat laporan polis berhubung artikel dalam buletin rasmi Majlis Peguam "Infoline" yang didakwa menghina Islam kerana menyifatkan panggilan azan sebagai "pencemaran bunyi dan mengganggu jiran".
Artikel tersebut bertajuk "Local authorities ought to be sensitive to individual rights" (Pihak berkuasa tempatan perlu sensitif terhadap hak individu) dalam edisi Infoline Mei/Jun 2004, yang tulis oleh peguam Yang Pei Keng.
Artikel kontroversi itu adalah mengenai tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya berhubung pengeluaran lesen anjing, yang memerlukan pemohon mendapat persetujuan dari jirannya terlebih dahulu. Peraturan ini tidak dilaksanakan berikutan bantahan daripada para penduduk terbabit.
Yang menulis (yang bermaksud): "Dalam kes pemaju membina masjid di kawasan kediaman bukan Islam, sementara setiap orang mengiktiraf hak sesuatu komuniti melaksanakan kewajipan agama dengan menggunakan pembesar suara, kepada sesetengah orang pula, ia adalah pencemaran bunyi dilakukan hingga mengganggu penduduk sesuatu kawasan kediaman.
"Berikutan, permohonan perlu terlebih dahulu diperolehi daripada penduduk tempatan sebelum membenarkan mana-mana pemaju membina sebarang masjid dalam kawasan mereka. Bagaimanapun, ini tidak pernah menjadi sebarang isu, kerana komuniti bukan Islam telah mengiktiraf hak komuniti Islam terhadap kebebasan beragama."
Masjid baru
Sebuah parti politik, Kimma turut membuat laporan polis yang sama terhadap artikel yang disiarkan dalam buletin rasmi Majlis Peguam itu.
Sementara itu, Tengku Abdullah juga berharap masjid baru yang akan dibina berharga RM780,000 itu akan memberi manfaat kepada penduduk kampung di kawasan berkenaan.
"Umat Islam terutama golongan remaja hendaklah mengunakan masjid sebagai tempat mendapatkan didikan agama bagi menangani masalah keruntuhan moral.
Baginda juga berharap institusi masjid tidak digunakan untuk menyebarkan ideologi politik sempit.

