Teras dakwa pemikiran Timbalan Menteri Penerangan masih terjajah
Timbalan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin dianggap tidak menghormati tradisi ilmu apabila tidak akur terhadap nasihat pakar bahasa berhubung penggunaan istilah Infotainment di RTM.
Timbalan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin dianggap tidak menghormati tradisi ilmu apabila tidak akur terhadap nasihat pakar bahasa berhubung penggunaan istilah Infotainment di RTM.
Badan bukan kerajaan, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mendakwa tindakan Zainuddin akan dijadikan alasan oleh sesiapa sahaja untuk memperlakukan Bahasa Melayu mengikut sesuka hati mereka pada masa depan.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid kecewa dengan sikap timbalan menteri itu yang masih mahu terus menggunakan istilah campuran sebagai jenama baru RTM 'Saluran Infortainmen Anda' walaupun ditegur oleh ahli dan pakar bahasa.
Kalangan pakar bahawa menolak penggunaan istilah 'infotainmen' yang digunakan dalam slogan RTM yang menurut mereka jelas merupakan satu istilah rojak.
Menurut mereka, slogan 'Saluran Infotainmen Anda' melalui penjanamaan semula rancangan stesen televisyen tersebut mulai 1 Ogos lalu, tidak membawa apa-apa erti kerana ia jelas campuran perkataan antara bahasa Melayu dan Inggeris.
Antara mereka yang membantah penggunaan istilah tersebut ialah Presiden Persatuan Linguistik Malaysia Dr Awang Sariyan, pakar bahasa dan linguistik tempatan, Profesor Datuk Dr Nik Safiah Karim dan Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Wira Abdul Rahman Arshad.
Bahasa rojak
Menurut Mohd Azmi lagi, sikap mentaliti mengkagumi istilah Inggeris untuk tujuan ketepatan maksud adalah petanda bahawa Zainuddin masih berfikiran penjajah dan pengkagum apa sahaja yang datang dari Barat.
"Teras berpendapat, fenomena meng'Inggeris'kan bahasa Melayu yang kini semakin berleluasa, di samping perbualan yang kini makin menjadi bahasa rojak, adalah petanda betapa kesungguhan masyarakat dan pihak berkuasa mendaulatkan bahasa Melayu kini semakin luntur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, Teras juga mempersoalkan kewajaran pihak kerajaan, sepertimana yang ditunjukkan oleh agensinya, RTM, untuk membelakangkan bahasa Melayu yang murni penggunaannya.
"Jika pihak berkuasa sanggup menunjukkan sikap longgar dalam penggunaan istilah yang betul dalam bahasa Melayu, masyarakat awam akan menerima mesej yang salah untuk tidak menghiraukan apa sahaja istilah yang hendak diguna tanpa akur kepada panduan ahli bahasa di negara ini," tambah Mohd Azmi.
Di samping itu, katanya, Terus membantah penggunaan istilah 'Infotainmen' itu kerana sebagai sebuah agensi rasmi kerajaan, penggunaan bahasa rojak akan membawa kesan buruk kepada perkembangan bahasa Melayu selanjutnya.
"Teras menggesa agar Kementerian Penerangan menarik balik istilah tersebut dan berbincang dengan pakar bahasa dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau mana-mana institusi pengajian tinggi supaya menggunakan bahasa bahasa Melayu yang lebih murni," tambahnya.

