Politik wang: Empat ketua Umno didapati bersalah
Lembaga Disiplin Umno mendapati empat pemimpin Umno bersalah terhadap tuduhan menggunakan wang sewaktu berlangsungnya mesyuarat cawangan dan bahagian bulan lalu.
Lembaga Disiplin Umno mendapati empat pemimpin Umno bersalah terhadap tuduhan menggunakan wang sewaktu berlangsungnya mesyuarat cawangan dan bahagian bulan lalu.
Mereka ialah Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir dari Umno bahagian Sungai Petani, Ketua Umno Bahagian Padang Besar Datuk Zahidi Abidin, Azmi Dollah dari Umno Kota Bharu dan Ketua Umno bahagian Bandar Tun Razak Datuk Amir Salleh.
Dr Mahadzir juga adalah Timbalan Menteri Pelajaran manakala Zahidi merupakan Ahli Exco Kerajaan Negeri Perlis.
Berikutan itu, jawatankuasa tersebut telah menjadi hukuman penggantungan keahlian selama tiga tahun terhadap Amir.
Manakala tiga yang lain Dr Mahathir, Zahidi dan Azmi dilepaskan dengan amaran.
Mereka merupakan kumpulan pertama pemimpin Umno yang disiasat oleh lembaga disiplin tersebut dan didapati bersalah terhadap tuduhan terhadap mereka.
Jawatankuasa pemantau
Mesyuarat cawangan Umno di seluruh negara telah berlangsung selama sebulan sepanjang bulan Jun lalu, manakala mesyuarat bahagian selama dua minggu diadakan bulan lalu.
Lembaga Disiplin Umno dipengerusikan oleh Tengku Ahmad Rithaudeen dan sehingga ini beberapa sesi siasatan telah dijalankan terhadap mereka yang didakwa terbabit dalam penggunaan wang sepanjang pemilihan diadakan di peringkat cawangan dan bahagian.
Umno telah membentuk lima jawatankuasa pemantauan mengikut zon bagi mengawasi ahli yang bertanding pelbagai jawatan pada peringkat bahagian dan pusat bagi mengelak sebarang salah laku, termasuk politik wang.
Lima zon itu adalah Utara bagi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang; Tengah (Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); Selatan (Melaka, Negeri Sembilan dan Johor); Timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu) serta Sabah yang juga meliputi Wilayah Persekutuan Labuan.
Pihak parti juga telah mengedarkan buku `Soal Jawab Perlembagaan dan Garis Panduan Pemilihan Umno Tahun 2004' yang diedarkan sebelum mesyuarat cawangan bermula Jun lalu.
Lembaga Disiplin Umno menerima lebih 70 aduan membabitkan politik wang dan salah laku ahli sepanjang mesyuarat peringkat cawangan dari 1 Jun hingga 30 Jun lalu.

