Perang poster sudah bermula di Kuala Berang walaupun hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut adalah pada Isnin depan dan hari pengundian pada 28 Ogos.

Tinjauan Bernama di DUN Kuala Berang mendapati Barisan Nasional (BN) telah menaikkan bendera di sepanjang jalan dekat pekan Kuala Berang selain markas-markas BN di setiap peti undi.

Jentera BN juga dilihat begitu sibuk membersihkan markas-markas baru selain membuat persiapan untuk memasang lebih banyak bendera.

Bagi PAS pula, bendera parti itu banyak dilihat di kawasan berhampiran Ijtimak Kepimpinan PAS Terengganu yang dijadualkan esok di Batu 24 dekat sini.

Beberapa jentera pilihan raya dari luar Terengganu mula memasang papan tanda markas mereka seperti Rumah Umno Johor di Kampung Buluh di sini.

Selain itu, buah-buahan yang membanjiri Kuala Berang kini kebanyakannya dinaikkan harga, seperti durian yang sebelum ini dijual RM10 bagi lima biji, naik menjadi RM12.

Daftar pengundi

Begitu juga dengan rumah sewa, yang dikatakan telah habis ditempah atau disewakan sejak pilihan raya kecil itu diumumkan berikutan kematian wakil rakyat Kuala Berang, Komaruddin Abdul Rahman, 46, pada 30 Julai lepas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali berkata pihaknya akan meneliti senarai nama pengundi dalam buku daftar pemilih supaya tidak ada penyelewengan yang akan dilakukan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) dalam pilihan raya kecil tersebut.

Katanya, penelitian itu akan dilakukan walaupun sukar mendapatkan buku daftar pemilih yang lengkap daripada SPR.

Menurut laporan Harakah Online , Dr Lo' Lo' berkata Muslimat PAS cuba menangani penyelewengan yang sering dilakukan oleh SPR sebagaimana yang berlaku dalam pilihan raya sebelum ini.

Katanya, PAS selalu mendapat buku daftar pemilih yang tidak mempunyai alamat lengkap.

Menurut beliau, alasan SPR yang mengatakan alamat dalam daftar pemilih memang tidak lengkap bercanggah dengan tindakan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang menghantar surat kepada semua pengundi dalam pilihan raya 2004.

"Kalau SPR kata alamat dalam daftar pemilih tidak lengkap macamana Abdullah boleh hantar surat kepada semua pengundi," katanya.

Peraturan

Dr Lo' Lo' berkata, Muslimat PAS bersedia menerima apa sahaja isiko memandangkan pilihan raya di Malaysia dijalankan secara tidak adil.

Sebelum ini, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob telah mengarahkan semua Pemuda PAS turun ke pilihanraya kecil Kuala Berang.

Katanya, antara fokus utama ialah meneliti buku daftar pemilih supaya tidak ada orang luar (pengundi hantu) yang berjaya mengundi di Kuala Berang.

"Kita tidak mahu kejadian penipuan sesetengah petugas SPR dalam pilihanraya umum lalu berulang," katanya sepertimana dilaporkan dalam Harakah online.

Menurutnya, Pemuda PAS akan memastikan semua peraturan pilihanraya dipatuhi dan sekiranya ada pihak yang cuba melanggar peraturan itu, Pemuda akan bertindak mengikut situasi ketika itu.