ULASAN Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mungkin teruja dengan hasil kaji selidik Merdeka Centre yang menyaksikan majoriti responden menyokong beliau sebagai perdana menteri yang akan datang.

 

Beliau mengatasi naib presiden Umno yang paling popular di kalangan tiga mereka, iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

 

Walaupun sesetengah pihak berhujah bahawa bilangan responden - lebih sedikit daripada 1,000 orang - tidak boleh mewakili secara tepat sentimen umum, tetapi Umnolah yang akhirnya akan menentukan siapa yang akan menjadi PM.

 

Memandangkan prestasi sepupunya Datuk Seri Najib Abdul Razak itu setakat ini, rakyat Malaysia mungkin berhati-hati memilih seorang lagi perdana menteri dengan pautan keturunan yang sama.

 

Hasil kaji selidik itu diperolehi di tengah-tengah spekulasi yang semakin meningkat bahawa kerjaya politik Najib sedang teruji ekoran pelbagai dakwaan, antaranya gaya hidup mewah keluarganya.

 

Juga dengan kes Altantuya Shaariibuu yang masih menghantui, dan jangan kita lupa, tentang isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, yang menjadi tumpuan kurang enak pihak media.

 

Kepimpinan Najib juga telah meletakkan Umno dan BN dalam teka-teki selepas prestasinya yang jauh lebih buruk daripada penyandang sebelumnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dalam pilihan raya umum lepas.

                                                                       

Walaupun Umno menambah kerusinya dalam pilihan raya umum 2013 - kira-kira 10 kerusi disebabkan oleh perubahan pengundi Melayu - tetapi kreditnya bukan milik Najib.

 

Sebaliknya, beliau dipersalahkan kerana memenuhi tuntutan pembangkang dan juga minoriti masyarakat Cina dan India, yang berisiko kehilangan sokongan orang Melayu. Menurut pernyataan golongan sayap kanan, merekalah yang membantu Umno untuk mengekalkan undi Melayu, bukan Najib.

 

Sejak pilihan raya umum lepas, golongan sayap kanan dalam Umno terus meningkatkan tekanan terhadap pemimpin mereka dan Najib akhirnya mengalah, dan menterbalikkan janji awalnya untuk melaksanakan pembaharuan seperti memansuhkan Akta Hasutan.

                                               

Di kalangan mereka yang berpendirian keras dalam Umno, Najib dan mereka yang sewaktu dengannya dikenali sebagai WOGs atau 'Western Oriented Gentlemen'.

 

Mereka adalah ahli politik yang mendaki tangga kuasa kerana hubungan kekeluargaan dan berasal dari latar belakang bangsawan. Mereka berpendidikan luar negara, kosmopolitan  dan bertutur dalam bahasa Inggeris yang halus.

 

Dalam erti kata lain, ahli-ahli politik yang sebahagian besarnya kurang memahami detik nadi rakyat jelata.

 

Pengkritik juga menuduh mereka terlalu mengambil berat tentang imej antarabangsa mereka, inginkan pengiktirafan pemimpin Barat dan oleh itu bersedia untuk berkompromi yang boleh menjejaskan negara serta kedudukan orang Melayu.

 

Dalam konteks ini, Umno mungkin tidak memihak kepada Hishammuddin untuk mengambil alih tampuk kepimpinan memandangkan dia juga dilihat sebagai  WOG.

 

Dua pilihan raya umum yang lalu telah menggoncang Umno. Apa yang dianggap sebagai dongengan, kini telah menjadi ancaman sebenar - bayangan kehilangan kuasa kerajaan pusat.

[Baca berita penuh/asal]