PAS digesa menghormati keputusan akar umbinya mencalonkan pencabar kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk pemilihan parti itu Jun depan.

Anggota jawatankuasa pusat PAS Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan perkara itu menjadi hak kawasan yang diputuskan dalam mesyuarat masing-masing.

“Setiap kawasan berhak untuk mencalonkan mana-mana calon yang mereka persetujui,” katanya.

“Soal untuk menerima atau tidak pencalonan akan diputuskan oleh calon dan perlu juga dihormati.”

Dalam kenyataannya hari ini, Mujahid berharap prinsip itu diterima pakai oleh semua kawasan bagi membuktikan PAS mengamalkan syura (perbincangan bersama) untuk membuat pencalonan.

PAS Kota Bharu ( atas ) mencetus kegemparan dengan mencalonkan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk merebut jawatan nombor satu dalam PAS pada pemilihan kali ini.

Pendakwah popular dan bekas pensyarah itu bagaimanapun menolaknya.