Penyakit Umno tolak ahli berkualiti
Baru-baru ini dalam satu perjumpaan antara Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan rakyat Malaysia di London, seorang penuntut mengadu kepadanya tentang kegagalan menganggotai Umno.
Penuntut itu berkata dia telah memohon sejak dua tahun lalu tetapi hingga kini permohonannya belum diluluskan.
Pak Lah spontan menjawab, "ini memalukan Umno." Serta-merta beliau memberikan jaminan bahawa permohonan penuntut itu akan diluluskan segera.
Seorang bekas ketua eksekutif sebuah syarikat gergasi milik kerajaan juga senasib dengan penuntut itu.. Ketua eksekutif yang baru sahaja menamatkan kontrak perkhidmatannya telah memohon untuk menjadi ahli Umno beberapa tahun lalu melalui sebuah cawangan di Selangor. Malangnya sehingga kini permohonan beliau diperamkan begitu sahaja.
Beliau hairan mengapa kesediaannya untuk menyahut seruan pemimpin Umno - yang mahu melihat lebih ramai golongan muda, profesional dan cendiakawan menyertai parti itu - tidak dihargai.
"Apa salah saya, adakah saya tidak layak untuk menjadi ahli Umno?" soal beliau.
Dua pengalaman ini bukanlah kes terpencil. Banyak lagi kes sedemikian yang membabitkan golongan muda terpelajar, profesional, korporat dan cendiakawan. Gejala menafikan hak kumpulan yang berpotensi dan berwibawa untuk menyertai Umno bukannya baru tetapi merupakan penyakit yang sukar diubati.
Gejala ini ketara sejak 10 tahun lalu apabila banyak cawangan dan bahagian Umno menapis permohonan daripada bekas ahli Parti Melayu Semangat 46. Sehingga menjelang pilihan raya umum pada hujung tahun lalu, dilaporkan lebih 200,000 permohonan penyokong Tengku Razaleigh Hamzah masih tidak diluluskan.
Kebusukan nawaitu
Memang tepat apabila Pak Lah menganggap gejala ini memalukan Umno kerana ia mendedahkan kelemahan dan kepincangan jentera pentadbiran parti, selain membuka kebusukan nawaitu para pemimpin Umno.
Nampaknya dalam usaha pucuk pimpinan tertinggi parti membuka pintu Umno kepada semua orang Melayu, pemimpin peringkat bawahan dan pertengahan mendendangkan irama yang berbeza.
Ketua cawangan dan bahagian sibuk dengan politik peribadi dan ada yang cuba menyusun dinasti sendiri. Mereka menapis dan menghalang kemasukan ahli-ahli baru. Sahabat, keluarga dan kroni lebih diutamakan. Sesiapa yang difikirkan berpotensi untuk menggugat kedudukan mereka, dipancung awal-awal lagi.
Tidak hairanlah terdapat bahagian-bahagian Umno tertentu, jawatan-jawatan penting seperti ketua bahagian, ketua wanita dan ketua pemuda dipegang oleh suami, isteri dan anak-anak serta adik-beradik sendiri.
Perbuatan mahu memonopoli jawatan dalam parti ini telah memburukkan imej Umno. Ia menyebabkan golongan muda, profesional dan cendiakawan tidak berpuas hati dan kecewa.
Akhirnya bagi mengubati kekecewaan itu, mereka berpaling kepada parti pembangkang seperti PAS dan Parti Keadilan Nasional yang lebih ketara ketelusan dan keikhlasannya memperjuangkan nasib Melayu.
Siapa yang rugi? Ketua bahagian atau ketua cawangan yang lebih mementingkan diri sendiri tidak merasai kesannya, sebaliknya parti itu sendiri kerana orang Melayu makin menjauhinya.
Umno menyedari masalah ini dan cuba mengatasinya dengan meminta golongan yang merasakan diri mereka dipinggirkan di peringkat cawangan atau bahagian supaya menghantar terus borang permohonan menjadi ahli kepada ibu pejabat di Kuala Lumpur.
Umno bukan tempat bergantung
Bagaimanapun langkah ini tetap tidak berkesan kerana tidak ramai "peminat-peminat" Umno sanggup bersusah payah menghantar borang ke Menara Datuk Onn di PWTC. Mereka masih mahu berurusan di cawangan dan bahagian walau mereka sedar kehadiran mereka kurang disenangi.
Seorang veteran Umno yang bertugas di ibu pejabat parti itu memberitahu, gejala memilih bulu dalam pemprosesan kemasukan ahli baru ini sukar diatasi kerana ramai ketua bahagian dan cawangan mahu "menongkat langit."
"Mereka tidak suka golongan yang berwibawa dan berpotensi menjadi ahli di cawangan atau bahagian masing-masing kerana bimbang akan dicabar oleh orang baru. Akibat perbuatan mereka, Umno dianggotai golongan tua dan oportunis," jelasnya.
Beliau menambah, sudah sampai masanya bagi pemimpin Umno di peringkat bawahan dan pertengahan untuk menyedari bahawa parti ini bukan lagi satu-satunya tempat orang Melayu bergantung harapan.
" Mereka perlu sedar bahawa orang Melayu sekarang mempunyai parti lain seperti PAS, Keadilan atau PRM. Mereka tidak boleh lagi mendabik dada mengatakan hanya Umno parti untuk orang Melayu," tegasnya.
Veteran Umno itu bertanya, kalau sudah ditolak oleh Umno, apa lagi pilihan yang ada pada golongan muda dan profesional Melayu?
Pemimpin Umno sepatutnya berasa malu apabila masalah sekecil kerja memproses keahlian baru terpaksa disuarakan kepada Timbalan Presiden. Lebih memalukan apabila kepincangan dan kelemahan parti didedahkan di luar negara.
AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita-berita prokerajaan" dan memilih menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih terbuka dan berkesan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.