Kerjaya sebagai pemandu pelancong menjadi pilihan anak muda yang kebanyakan dibesarkan di kawasan pantai yang sangat sinonim dengan situasi perairan laut dan sekitarnya.

Ketika ditemui Bernama , anak muda ini berkata mereka tidak pernah mengimpikan untuk menyertai bidang pelancongan apatah menjadikannya kerjaya utama mereka yang dianggap menyeronokkan.

Bagi Mohd Firdaus Mohd Sabri, 23, sebaik mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia enam tahun lalu, dia terus memohon kerja di sebuah resort di Pulau Redang untuk mengisi masa terluang sebelum menyambung pelajaran.

Namun kerja yang menyeronokkan selain minat mendalam terhadap alam sekitar dan cintakan laut mendorongnya untuk meneruskan kerja sebagai pemandu pelancong dan terus melupakan hasrat menyambung pengajian.

"Dulu, setiap kali cuti sekolah saya akan datang ke pulau untuk mengisi masa lapang sambil melakukan kerja sambilan. Dari situ timbul minat saya untuk terus serius dalam bidang ini selain dapat menyelam dan melihat kehidupan laut.

"Berbekalkan pengalaman bekerja di resort selain mempunyai kebolehan berenang, saya diterima bekerja sebagai pemandu bot pelancong di sebuah resort terkemuka di Pulau Redang," kata Mohd Firdaus.

Pengalaman hampir enam tahun bermula sebagai pembantu membawa bot pelancong juga membolehkan anak jati Merang, Setiu ini akhirnya mempunyai lesen untuk membawa bot pelancong.

Dalam pada itu, rakannya Mohd Rizalman Hassan, 23, berkata jika sebelum ini dia tidak tahu berbahasa Inggeris namun apabila menceburi bidang berkenaan dia sedikit sedikit sebanyak mampu bertutur bagi memudahkan kerjanya untuk berkomunikasi dan memberi penerangan, terutama kepada pelancong asing.

Anak kelahiran Pahang ini mengakui agak sukar untuk menguasai bahasa asing namun dek kerana minat yang mendalam dalam sektor itu menagih dia untuk berusaha sehingga mampu bertutur dengan baik.

"Memanglah agak sukar untuk bertutur dalam bahasa Inggeris pada mulanya, namun bila hari-hari mempraktikkan bahasa Inggeris, maka saya mampu berkomunikasi tanpa rasa segan lagi.

"Menerusi kerja ini juga saya dapat mengenali pelancong dari pelbagai negara sambil bertukar-tukar cerita dan tempat pelancongan menarik di negara mereka," katanya yang minat melancong apabila resort tidak beroperasi disebabkan musim monsun.

- Bernama