Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak petisyen pilihanraya yang dikemukakan oleh calon PAS bagi kawasan Parlimen Kepala Batas Abdul Khalid Rasid terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Bernama , dalam penghakimannya, Hakim Datuk Hasan Lah berkata, setelah meneliti petisyen tersebut, beliau mendapati kes itu tidak mempunyai merit.

Menurutnya, ini kerana mahkamah telah menerima bukti dari Peguam Kanan Persekutuan Umi Kalsom Abdul Majid yang menyerahkan surat bahawa Abdullah adalah antara orang yang terawal memfailkan perbelanjaan pilihanraya berkenaan pada 18 Februari 2000.

Dalam petisyen itu, Abdul Khalid, seorang ahli perniagaan, mendakwa Abdullah tidak layak menjadi wakil rakyat Parlimen Kepala Batas kerana gagal memfailkan penyataan perbelanjaan pilihanraya umum ke-10 pada tahun 1999 dalam tempoh masa yang dihadkan.

Hasan berkata, pihak pempetisyen juga telah dimaklumkan mengenai perkara itu menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada peguam mereka pada 28 Julai 2004 yang menyebut perbelanjaan pilihanraya Abdullah telahpun diwartakan oleh kerajaan pada 29 Jun 2000.

"Dalam jadual warta itu, Abdullah didapati merupakan orang yang pertama memfailkan perbelanjaan pilihanraya dan disebabkan itu, mahkamah hari ini mendapati petisyen yang dikemukakan adalah tidak berasas," katanya.

Hasan berkata dengan penolakan petisyen itu, mahkamah hari ini mengisyhtiharkan bahawa Abdullah adalah wakil rakyat yang sah dan dipilih secara layak bagi Parlimen Kepala Batas.

Semakan kehakiman

Beliau juga meminta pempetisyen berunding dengan responden berhubung tuntutan kos kes itu bagi membolehkan beliau mendapat semula depositnya.

Petisyen itu dikemukakan mengikut Seksyen 24(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Penolakan petisyen itu merupakan kegagalan kedua bagi calon PAS ( gambar ) itu untuk membatalkan pemilihan Abdullah sebagai wakil rakyat bagi kawasan Parlimen Kepala Batas dalam pilihanraya umum 21 Mac lalu.

Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Tinggi yang lain juga menolak semakan kehakiman yang dikemukakan oleh calon berkenaan dengan tujuan yang sama.

Hakim Datuk Mohd Noor Abdullah, ketika membuat keputusan dalam kamarnya, mendapati kaedah permohonan itu adalah menyalahi peraturan.

Tuntutan semakan itu dibatalkan oleh mahkamah atas asas bahawa segala tuntutan atau bantahan mengenai pilihanraya hendaklah dikemukakan secara petisyen pilihan raya.

Peguam pempetisyen Darshan Singh Khaira berkata, anak guamnya, yang tidak hadir di mahkamah pada hari ini, menerima keputusan mahkamah itu.

Abdullah yang mendapat 25,403 undi menewaskan Abdul Khalid dengan majoriti 18,122 undi pada pilihan raya umum Mac lalu.