Seorang lagi ketua perhubungan negeri menghantar surat untuk meletakkan jawatan. Orang kuat Abim ini menyebabkan beberapa aktivis pemuda meninggalkan Parti KeADILan Nasional ketika pilihan raya kecil Telok Kemang.

Presiden Dr Wan Azizah Ismail tentu mengetahui hal ini, kata satu sumber.

Sementara Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir, mungkin akan dinilai semula prestasinya. Beberapa hal pentadbiran asas parti itu gagal dijalankan dengan berkesan. Paling nyata, ketika menguruskan mesyuarat agung parti itu 15-18 Jun lalu.

Keadaan tidak meriah itu bertentangan dengan semangat 're-for-ma-si' dan anak muda, tidak seperti pada hari kemunculannya 4 April lalu.

Dan bukan soal itu sahaja. Dalam sesi perbahasan, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi tidak sabar-sabar menunjukkan perbezaan dan kepuakan masing-masing. Malah, ada seorang perwakilan wanita yang berbahas tentang penggabungan KeADILan-Parti Rakyat Malaysia sebenarnya membaca teks yang disediakan daripada "konspirasi" puak-puak bertelagah.

Tetapi rungutan terhadap Anuar bermula lebih awal lagi dan ia bercampur remeh dan serius. Beberapa "ratus ribu" ahli yang bersemangat menyertainya bertanya tentang kad keahlian yang lembab diuruskan; sementara sesetengahnya pula mempertikaikan jumlah kutipan wang yuran keahlian - di manakah Anuar menguruskannya atau kenapa bahagian-bahagian tidak mendapat peruntukannya.

Satu lagi isu yang sering timbul - sebagai alasan kukuh menyerang Anuar - ialah ketidakcekapannya mengurus proses pemindahan nama parti, daripada Ikatan. Hampir-hampir parti itu tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan atas alasan teknikal remeh beberapa bulan menjelang pilihan raya November tahun lalu.

Menurut sumber, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sendiri tahu hal itu. Tetapi apakah begitu dangkal beliau mahu mengarahkan KeADILan diharamkan?

Akibatnya menjelang November itu, parti terpaksa mengadakan mesyuarat agung bagi memenuhi syarat teknikal tersebut dan manipulasi puak-puak bertelagah itu memanjangkan tempoh perseteruan.

Beberapa pemimpin tempatan juga dialih-alihkan sehinggakan satu-satunya "kejayaan" mesyuarat agung pertama itu ialah melemahkan moral jentera parti dalam saat-saat ghairah menumbangkan Mahathir!

Anuar, begitu menurut musuh politiknya, memang tersohor menjatuhkan pemimpin-pemimpin, termasuk beberapa ketua perhubungan negeri, yang tidak digemarinya dan menaikkan puak-puaknya sendiri.

Kelam-kabut, itulah satu patah perkataan paling sesuai untuk menggambarkan KeADILan. Meletihkan, sebagai patah kedua dan ketiga, duduk sahaja, jangan buat apa-apa atau tinggalkan sahaja parti.

Keadaan itu ditambah pula ketegangan yang wujud dalam biro politik dan biro pilihan raya ketika memilih calon-calon pilihan raya. Di sini, Timbalan Presiden Dr Chandra Muzaffar, pula memainkan peranannya bersama Naib Presiden Marina Yusoff memporak-perandakan parti.

Inilah punca barah yang semakin serius antara Marina-Chandra sehinggakan diberitakan dua pemimpin berada dalam "Perang Dingin" sejak itu.

Marina meninggalkan KeADILan baru-baru ini pun dalam kekecewaan itu, ditambah pula sikap Azizah yang dilihat tidak sangat memahaminya. Tetapi Marina menyimpan simpati yang mendalam terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam keghairahan menjadi calon, "orang-orang Anwar," termasuk yang sudah senior bersama Abim yang Islamik itu (apatah lagi kumpulan lain), terlupa menghormati Azizah sehingga terburai tangisannya. Marina sering mengingatkan Azizah siapakah yang bersamanya ketika saat getir itu.

Selalunya begitulah tabiat pemimpin KeADILan, semuanya bercakap membela 'Pak Syeikh' dan sentiasa cuba merapati - malah membolot access kepada - Azizah tetapi semuanya itu pula tidak membantu Anwar!

Tidak keterlaluan dirumuskan, selagi wujud KeADILan yang ada sekarang, semakin panjang tempoh Anwar di penjara.

Ezam pula sudah dua kali kedengaran ingin melepaskan jawatan, awal tahun ini dan selepas perhimpunan Black 14. Beliau mungkin merajuk sahaja tetapi impaknya besar.

Sementara Ketua Pemuda KeADILan itu semakin terpinggir dalam gerakannya sendiri. Sebagai kumpulan yang meniru gaya aktivis Umno, wang menggerakkan tenaga kerja. Tanpa wang, tiada aktivis Pemuda dan Ezam kini merasainya.

Ahli politik muda yang kaya bakat itu mungkin berharap lebih baik beliau turut ke penjara daripada menanggung semua remeh-temeh dalam parti.

Sebagai seorang tokoh yang merebut pasaran pengaruh Melayu, Ezam terpaksa berkongsi dengan Pemuda PAS, Mahfuz Omar, sekurang-kurangnya di peringkat Barisan Alternatif. Tetapi mampukah Ezam-Mahfuz digandingkan?

Ulas seorang tokoh pembangkang, "KeADILan lebih teruk (leceh) daripada Umno!" Pertelagahan itu meletihkan kumpulan-kumpulan yang semakin mengecil itu; sementara re-for-ma-si bukan lagi trendy di kalangan anak muda.

Tetapi keletihan itu habuan semula jadi bagi mereka yang suka politik berpuak-puak. Ia bukan masalah.

Masalahnya bermula: orang ramai semakin meluat melihat gelagat KeADILan.