PAS Pusat akan melantik Jawatankuasa Tadbir bagi menguruskan mesyuarat Agung PAS kawasan Batu serta pemilihan jawatankuasa bagi sesi 2015-2017.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata pelantikan itu dibuat susulan peletakan jawatan 17 ahli jawatankuasa kawasan itu termasuk Yang Dipertuanya Ishak Surin semalam, lapor Harakahdaily hari ini.

Dalam laporan itu, Mustafa berkata jawatankuasa tadbir bagi mengendalikan mesyuarat agung dan pemilihan dibuat berdasar peruntukan perlembagaan parti.

Ia bakal diputuskan pada mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat pada 13 April, kata Mustafa lagi.

"Pejabat Setiausaha Agung PAS sudah semak dan mendapati ahli jawatankuasa PAS Batu yang masih ada tidak cukup korum untuk mengendalikan urusan PAS kawasan termasuk mesyuarat agung," Mustafa dilaporkan sebagai berkata.

Laporan itu juga menyebut beliau berkata, kebiasaannya jawatankuasa tadbir itu diserahkan kepada perhubungan PAS negeri itu bagi menguruskan aturan mesyuarat tahunan itu.

Semalam, kepimpinan kawasan itu memengumumkan peletakan jawatan serta merta kerana kecewa dengan kepimpinan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mereka hanya akan kembali ke jawatan itu jika beliau berjaya menyelesaikan krisis dalam PAS dan isu dengan dalam Pakatan Rakyat.