Sejumlah 1,497 anggota tentera bersama pasangan mereka hari ini merupakan pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang berlangsung di Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa di Kota Bharu.

Pusat pengundian awal itu dibuka pada pukul 8 pagi dan akan ditutup pada pukul 5 petang ini.

Proses pengundian awal itu turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding pada PRK berkenaan, selain pemerhati tempatan yang terdiri daripada NGO dan ahli akademik yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dengan kebenaran daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

PRK DUN Chempaka ini menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon bebas.

    

PAS diwakili Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42, manakala empat calon bebas terdiri daripada bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary (48), bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood (59), Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Fadzillah Hussin (55), dan pesara Kementerian Kesihatan Aslah Mamat, 64.

Kesemua calon yang bertanding turut hadir untuk meninjau proses pengundian awal hari ini.

Sejumlah 20,390 orang pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Ahad ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusinya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Hashim Abdullah berharap peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal PRK Chempaka mampu mencecah 70 peratus.

"Pusat pengundian dibuka macam biasa sampai pukul 5 petang dan kita yakin pengundi yang terdiri daripada kaum wanita akan datang (mengundi) mungkin tengahari atau petang.

Ini kerana waktu pagi mereka sibuk uruskan hal rumah dan anak-anak, kita harap pengundi dapat tunai tanggungjawab dan pihak tentera juga telah ambil pelbagai langkah untuk memastikan pengundi keluar mengundi," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Dewan Tan Sri Hamid Bidin,

Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa di Kota Bharu.

Hashim juga berharap kesemua 20,390 orang pengundi biasa yang layak mengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Ahad ini.

"Apa yang penting ialah orang keluar mengundi, kempen sahaja rancak tetapi tidak keluar mengundi, ia tidak boleh menterjemahkan apa sebenarnya kempen," katanya.

- Bernama