Zahid tukar fikiran, takkan dedah surat
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertukar fikiran dan kini tidak akan mendedahkan surat daripada menteri terdahulu kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.
Ahmad Zahid ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini berkata, beliau berjanji akan membangkitkan isu tersebut semasa ucapan penggulungannya dalam sidang Dewan.
"Tunggu (ucapan) penggulungan saya. Saya tidak akan dedahkan (surat) tetapi akan sebut di Parlimen,” katanya kepada Malaysiakini.
Beliau pada minggu lalu berkata, menteri dalam negeri sebelumnya juga pernah mengutus surat dan menandatangani perjanjian dengan AS.
Katanya, menteri berkenaan akan menanggung “malu besar” jika beliau mendedahkan dokumen tersebut kepada mereka menafikan berbuat demikian.
Zahid pada asalnya memberitahu wartawan bahawa beliau akan mendedahkan dokumen tersebut di Parlimen.
Dua orang bekas menteri di portfolio tersebut, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Tan Sri Syed Hamid Albar menafikan bahawa mereka pernah mengeluarkan surat seperti itu.
Perkara itu timbul apabila Zahid didapati pernah mengutus surat kepada FBI untuk jutawan Malaysia didakwa 'raja judi' Paul Phua, yang kini menghadapi prosiding mahkamah di AS.
Dalam surat itu, Zahid menyatakan bahawa Phua pernah membantu Malaysia dalam soal keselamatan negara dan Putrajaya mahu beliau kembali ke Malaysia.
Menteri itu menolak dakwaan bahawa beliau melakukan salah laku, namun reputasinya kini tercalar kerana Phua merupakan suspek kes jenayah yang dikaitkan dengan kongsi gelap 14K.

